Warga, alumni UTeM perlu perkasa integriti, pelihara nama baik universiti
Warga dan alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) diseru terus memperkukuh budaya integriti serta memelihara nama baik universiti daripada sebarang tindakan yang boleh mencemarkan reputasi dan maruah institusi.
Seruan itu disampaikan Canselor UTeM merangkap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, ketika menyampaikan ucapan dan menyempurnakan Majlis Konvokesyen UTeM Ke-22, sesi pertama, di Dewan Canselor, Kampu Induk UTeM, Durian Tunggal.
Beliau berkata, agenda integriti perlu dijadikan budaya dan pegangan seluruh warga universiti, bukan sekadar dilaksanakan menerusi program atau kempen, sambil menyifatkan pelantikan Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti sebagai satu kekuatan dalam memperkukuh agenda berkenaan.
Tun Mohd Ali turut mengingatkan warga dan alumni supaya tidak membiarkan kepentingan peribadi, perbezaan pandangan atau perselisihan menjadi punca nama baik universiti tercalar.
Beliau menegaskan, reputasi yang dibina bertahun-tahun boleh musnah dalam sekelip mata, justeru setiap individu mempunyai tanggungjawab bersama untuk mempertahankan maruah UTeM.
Dalam pada itu, beliau menitipkan pesanan supaya warga universiti sentiasa mengenang jasa dan membalas kebaikan insan yang pernah membantu mereka, selain mengamalkan nilai murni, saling menasihati, mengelakkan persengketaan serta menjauhi perbuatan mungkar.
Mengakhiri amanatnya, beliau mengingatkan graduan bahawa kejayaan menamatkan pengajian bukan noktah perjuangan, sebaliknya permulaan untuk membawa nama UTeM ke dunia profesional.
"Apabila melangkah ke alam pekerjaan sebagai jurutera, teknologis, usahawan, penyelidik atau penjawat awam, ingatlah bahawa anda turut membawa nama UTeM. Jagalah nama itu, bina reputasinya dan jadilah graduan yang membanggakan universiti," katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pro Canselor UTeM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; serta Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
Konvokesyen UTeM Ke-22 mencatat sejarah dengan meraikan seramai 3,578 graduan, jumlah tertinggi sejak penubuhan universiti itu, menerusi enam sesi sepanjang tiga hari.
Daripada jumlah itu, 96 graduan menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD), 206 ijazah sarjana, 2,816 ijazah sarjana muda dan 460 diploma.
Istimewanya, konvokesyen kali ini turut menyaksikan UTeM buat julung kalinya menganugerahkan Doktor Pengurusan Teknologi kepada empat graduan sulung dalam bidang berkenaan