Profesor Dr Mohd Rizal dilantik Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa Baharu UTeM
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), hari ini mengumumkan pelantikan Profesor Dr Mohd Rizal Salleh sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 21 Oktober 2025.
Pelantikan bekas Dekan Sekolah Pengajian Siswazah itu bagi mengisi jawatan dikosongkan Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim yang telah bersara wajib baru-baru ini.
Menurut kenyataan UTeM, pelantikan itu mendapat persetujuan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Mohd Rizal (58 tahun) memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Tokushima University, Jepun pada tahun 2000 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Sistem di Brunel University, United Kingdom pada tahun 2007.
Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 6 tahun dalam bidang perindustrian dengan menjawat beberapa jawatan penting di beberapa buah syarikat industri antaranya TKR (M) Manufacturing Sdn Bhd dan Tractors Malaysia.
Memulakan kerjaya dalam bidang akademik sebagai pensyarah di UTeM bermula pada 1 April 2022 dan sepanjang karier beliau di sini mencatatkan pelbagai pencapaian membanggakan.
Beliau sememangnya berpengalaman luas dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran universiti, pernah menyandang jawatan sebagai dekan fakulti selama lebih lima belas tahun di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Sekolah Pengajian Siswazah, UTeM bermula tahun 2009 hingga kini.
Di bawah kepimpinan dan reputasi cemerlang beliau, kedua-dua fakulti tersebut telah berjaya mencapai kemajuan dalam penawaran pelbagai program pengajian baharu di samping penyerlahan dalam konteks penyelidikan inovasi serta program kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa.
Hal ini telah menjana impak tinggi serta rangkaian manfaat besar bukan sahaja kepada para pelajar UTeM malah kepada kakitangan UTeM melalui program pertukaran dan mobiliti dengan rakan strategik terlibat.
Beliau yang memiliki kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Pembuatan terutamanya pengkhususan Lean Manufacturing dan Kejuruteraan Industri ini turut bergiat aktif dalam bidang penulisan jurnal dan prosiding bertaraf antarabangsa.
Pada masa yang sama, UTeM turut merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Zulkifilie Ibrahim atas sumbangan beliau sepanjang berkhidmat dengan UTeM.