Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Selatan di UTeM Berupaya Tarik Lebih 25 Ribu Pengunjung
Program jerayawara pendidikan tinggi negara iaitu Jom Masuk U 2025 (JMU 2025) Zon Selatan telah bermula pada hari ini 26 dan 27 April bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, Program Jom Masuk U ini bukan sekadar pameran pendidikan malahan sebagai jambatan yang menghubungkan impian dengan realiti.
Katanya, ia menjadi medan ruang dan peluang untuk para pelajar dan ibu bapa mendekati dunia pendidikan tinggi secara lebih menyeluruh untuk bertanya, melihat, menyelidik, dan seterusnya membuat keputusan yang paling tepat.
“Program Jom Masuk U ini memberi peluang yang amat besar kepada pelajar dan ibu bapa untuk mendapat penerangan secara terus dan bersemuka daripada wakil rasmi setiap universiti.
“Ini memudahkan para pelajar memahami syarat kelayakan, program pengajian yang ditawarkan, dan juga laluan kerjaya selepas tamat pengajian justeru peluang seperti ini sangat bernilai kerana maklumat yang tepat boleh membantu membuat keputusan yang lebih terarah dan bijaksana,” ujarnya sewaktu majlis perasmian Jom Masuk U Zon Selatan di Dewan Canselor UTeM, pagi ini.
Katanya lagi, program tahunan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini berjaya menjadi promosi maklumat lengkap program pendidikan yang ditawarkan IPT di bawah kementerian merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) serta penglibatan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
"JMU 2025 menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan dan tentunya kumpulan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma atau setarafnya.
"Pelbagai aktiviti menarik turut ditawarkan sepanjang JMU 2025 Zon Selatan di UTeM berlangsung antaranya pameran, sesi konsultasi UPUOnline(R), konsultasi penajaan, biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi," ujarnya.
Massila berkata, pagi ini sahaja telah menampakkan sambutan hebat daripada para pelajar dan ibu bapa yang telah mula membanjiri Karnival Jom Masuk U Zon Selatan yang mana UTeM menjadi tuan rumah kali ini.
“Kita menjangkakan sambutan menggalakkan ini akan berterusan selama 2 hari berturut-turut kerana ini adalah peluang keemasan yang dinantikan buat semua terutamanya golongan sasaran bagi negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
“Terdapat lebih Lebih 60 reruai dari pelbagai institusi pengajian akan terlibat.di samping diadakan cabutan bertuah, pameran interaktif, foodtruck dan pelbagai aktiviti menarik,” ujarnya lagi.
Tambah Massila, Jom Masuk U membuka pilihan untuk para pelajar memilih sendiri universiti pilihan untuk menyambung pengajian.
Ulasnya, UTeM yang merupakan Universiti TVET Terbaik dalam Malaysia terus menjadi pilihan ramai tambahan pula dengan pelbagai kejayaan baharu yang diterima lagi oleh UTeM baru-baru ini seperti menerima Anugerah Inovasi Pendidikan Malaysia.
"Pada masa yang sama UTeM turut memenangi Anugerah Universiti Pilihan Majikan oleh Talentbank dan 6 kursus menjadi pilihan utama majikan dan dari segi kebolehpasaran graduan pula UTeM telah mencapai peningkatan luar biasa bagi 5 indikator utama ukuran kejayaan kadar kebolehpasaran pasaran graduan.
"Secara spesifiknya Kadar kebolehpasaran graduan (Graduate Employability Rate) UTeM juga telah mencatat peningkatan memberangsangkan dengan peratusan tertinggi iaitu 98.1% pada tahun 2024 dan menunjukkan keupayaan UTeM melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang, tetapi juga laku keras di pasaran kerja," ujarnya lagi.