Jenazah 2 Pelajar UTeM Selamat dikebumikan
Jenazah 2 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan di kampung halaman mereka malam tadi.
Menurut kenyataan UTeM, Kedua-dua jenazah telah bergerak di bawa pulang dari Hospital Jasin selepas selesai proses bedah siasat sebelumnya dan proses penghantaran telah diuruskan oleh pihak UTeM.
Jenazah Nurul Syafiqah Nasruddin telah selamat disemadikan di kawasan tanah perkuburan kampungnya di Kampung Ulu Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan selepas waktu Maghrib
manakala jenazah Nurhanis Afryna Azizan di bawa pulang dan selamat dikebumikan di Felda Selancar 2, Muadzam Shah, Pahang pada jam 10.00 malam tadi.
Proses pengkebumian telah diuruskan dengan baik dan berjalan lancar seperti mana permintaan pihak keluarga.
Mereka merupakan mangsa dalam nahas kemalangan di Kilometer (KM) 187.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, pagi semalam yang turut melibatkan 2 orang lagi pelajar iaitu Nur Hanis Suraya Supiyan dan Azwalidiya Azman dan mendapat kecederaan.
Memetik perbualan pihak UTeM dengan kedua ibu bapa pelajar yang telah meninggal dunia menyatakan terkejut dengan berita kemalangan yang menimpa anak mereka, namun mereka terima dengan redha kerana telah menjadi ketentuan Ilahi.
Pihak UTeM telah menyampaikan sumbangan kepada pihak keluarga pelajar dan turut akan menerima pampasan insurans kematian, sumbangan dari Tabung Khairat Pelajar UTeM dan sumbangan dari Yayasan Perkasa Siswa KPT.