Skip to main content
12 December 2024

Kecemerlangan Berganda UTeM Rangkul 2 Anugerah Khas Buku Negara 2024

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempamerkan kecemerlangan berganda apabila berjaya menerima Anugerah Khas Buku Negara 2024 bagi dua kategori iaitu Kategori Buku Sains dan Teknologi Terbaik serta Kategori Penerbit Prolifik (Universiti).

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah berkenan disempurnakan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, semalam.

Anugerah Kategori Buku Sains dan Teknologi Terbaik telah diterima menerusi buku terbitan Penerbit UTeM berjudul ‘Kepentingan Keperluan Keselamatan dalam Pembangunan Perisian’ karya Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Pensyarah Kanan, Ts. Dr. Noorrezam Yusop. Pensyarah Kanan

Sementara itu, Anugerah Kategori Penerbit Prolifik (Universiti) telah dinobatkan kepada Penerbit UTeM yang diterima oleh Pengarah Penerbit UTeM, Ts. Dr. Ruziah Ali.

Mengulas pencapaian kemenangan ini, Prof. Massila menzahirkan kesyukuran atas pengiktirafan ini dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu beliau menerbitkan karya yang diharap dapat menjadi panduan dan rujukan para pembaca.

”Saya berharap pencapaian anugerah turut menjadi sebahagian daripada elemen yang dapat menyumbang kepada penarafan UTeM sekali gus mengharum nama UTeM di persada dunia,” ujarnya lagi.

Pencapaian ini turut menggambarkan ketokohan beliau yang bukan hanya komited dalam kepimpinan UTeM dengan menjulang TVET aras tinggi di samping turut menggalas beberapa jawatan penting berkaitan pendidikan tinggi negara sehingga mencapai pelbagai anugerah, namun pada masa yang sama beliau tetap mampu juga cemerlang dalam bidang penulisan dan penerbitan buku sehingga mencapai Anugerah Khas Buku Negara.

Sementara itu, Dr. Ruziah merakamkan jutaan terima kasih kepada pengurusan tertinggi UTeM, para penulis dan seluruh warga kerja Penerbit UTeM yang sentiasa komited dalam usaha meningkatkan penerbitan ilmiah berimpak tinggi.

“Kemenangan dan pencapaian ini turut menjadi momentum buat kami untuk terus cemerlang dalam penghasilan naskah bermutu tinggi untuk rujukan ramai,” katanya.

Penyampaian Anugerah Khas Buku Negara 2024 diadakan bersempena Majlis Pelancaran Buku Coffee Table Polis DiRaja Malaysia berjudul ‘PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara’ yang berlangsung di Kuala Lumpur.