Kewibawaan Memimpin Institusi TVET Negara: Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin Terima Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET)
Kewibawaan dan kecemerlangan kepimpinan dinamik memacu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara telah menobatkan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin sebagai penerima Anugerah Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET).
UTeM dalam satu kenyataan memaklumkan, anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud kepada beliau di majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2024 di salah sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur, hari ini.
“META 2024 adalah pengiktirafan berprestij anjuran Education + TVET Asia Publications bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan cemerlang dalam bidang pendidikan dan TVET di seluruh Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
“Kejayaan unggul ini menzahirkan keberhasilan corak daya kepimpinan strategik dan berimpak tinggi Dr Massila memimpin UTeM dan Malaysia dalam menjulang TVET negara.
“Usaha beliau telah membangunkan Pelan Strategik UTeM 2023-2025 yang mengandungi 5 Teras Strategik yang mana teras yang pertama adalah berfokuskan kepada Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya.
“Menerusi kepimpinannya UTeM terus menempa pelbagai kejayaan dalam konteks pendidikan TVET termasuklah lonjakan peningkatan kadar kebolehpasaran graduan UTeM yang menjadi pilihan utama majikan,” katanya.
Sementara itu, kepimpinannya turut menarik rangkaian industri multinasional meletakkan kepercayaan dan menjadikan UTeM sebagai pilihan utama selaku rakan kolaborasi universiti-industri dalam menjayakan pelbagai agenda TVET, penyelidikan inovasi dan pembangunan sektor perindustrian.
Di peringkat nasional selaku ahli Majlis TVET Negara beliau merupakan seorang ikon penggerak pemerkasaan TVET Malaysia termasuklah antaranya menjayakan program JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement).
Menurut kenyataan, kepimpinan beliau dalam konteks TVET antarabangsa membawa UTeM dan TVET berkongsi kepakaran dan menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi TVET di serata dunia dan membawa lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian TVET dalam negara.
“Pada masa yang sama Dr Massila turut telah berjaya meletakkan UTeM sebagai arkitek utama peneraju katalis pembangunan pendidikan TVET di negeri Melaka, katanya lagi.
Di samping itu, selaku Pengerusi Jawatankuasa Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) beliau turut telah berjaya mengetuai dan mencorak acuan strategik Pelan TVET Termaju MTUN 2030 dengan memacu kecemerlangan 4 buah universiti MTUN menjayakan agenda TVET secara bersepadu.
TVET Termaju MTUN 2030 merupakan inisiatif pendidikan yang meluas yang menekankan pembangunan bakat melalui kepakaran teknikal, kemahiran insaniah serta keusahawanan di peringkat pengajian tinggi selaras Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
Dengan penganugerahan di META 2024 ini Dr Massila telah menerima sebuah trofi dan sijil penganugerahan atas kejayaan yang telah dicapai.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Ir Dr Ghazali Omar, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kelestarian Global), Prof Madya Mohd Rahimi Yusoff dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global, Hazman Hasib serta pengurusan tertinggi UTeM.