
26 May 2022
UTeM bangunkan VEDIWARD bantu pemandu lori cegah kemalangan jalan raya
Kumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya membangunkan sebuah prototaip pengesan dan penggera ketidakstabilan lori yang dikenali sebagai VEDIWARD bagi membantu mengurangkan insiden kemalangan jalan raya.
Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, sebagai universiti awam teknikal pertama di Malaysia, UTeM terus menzahirkan kepakaran penyelidiknya dalam bidang penyelidikan dan inovasi bagi membantu komuniti yang memerlukan.
Jelasnya, terbaharu pembangunan VEDIWARD ini dilihat sebagai salah satu kaedah yang mampu membantu pemandu lori dan kenderaan perdagangan dalam negara memastikan pemanduan yang lebih selamat seterusnya mengurangkan kes kemalangan jalan raya.
Ujarnya, dengan pembangunan prototaip ini ianya memberikan gambaran bahawa menerusi inovasi dan teknologi kita mampu membantu mencorak keadaan pemanduan yang selamat buat semua.
Prototaip ini telah dibangunkan oleh sekumpulan Penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan, Ir. Ts. Dr. Mohamad Hafiz Harun.
Enam penyelidik lain adalah Ahmad Zul Husni Che Mamat, Ts. Dr. Fauzi Ahmad, Ts. Mohd Hanif Che Hasan, Mohammad Rafi Omar, Ts. Qamar Fairuz Zahmani dan Muhammad Rabbani Abd Rasid
Dr Hafiz berkata, menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), faktor utama berlakunya kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian manusia yang menyumbang sebanyak 80.6 peratus, 13.2 peratus disebabkan oleh faktor keadaan jalan raya dan 6.2 peratus disebabkan faktor keadaan kenderaan.
Ujarnya, berdasarkan senario tersebut maka kami terpanggil untuk manjayakan inisiatif dan usaha dinamik bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang
disebabkan oleh faktor kecuaian manusia maka kami bangunkan VEDIWARD ini khususnya kepada pemandu lori.
“VEDIWARD adalah alat pengesan dan penggera ketidakstabilan kenderaan yang efektif terutamanya apabila digunakan pada lori dan kenderaan perdagangan, ianya dapat membantu pemandu untuk mencegah kemalangan jalan raya.
“Dengan rekabentuk yang kompak dan penggera yang mudah dilihat, pastinya dapat membantu pemandu memberikan amaran awal yang jelas sebelum berlakunya kemalangan,” ujarnya lagi kepada media baru-baru ini.
Mengulas lanjut, katanya sistem amaran yang dihasilkan oleh VEDIWARD menggunakan suara manusia yang jelas dapat membantu pemandu membetulkan pemanduan sebelum berlakunya kemalangan manakala suara amaran ini boleh disesuaikan dengan bahasa yang mudah difahami oleh pemandu tersebut.
Seorang lagi penyelidik, Ahmad Zul Husni menyatakan, selain sebagai alat pengesan dan penggera amaran, VEDIWARD juga berfungsi sebagai “kotak hitam” kenderaan yang menyimpan segala data pemanduan yang dapat memudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut berkaitan data pemanduan sebelum berlakunya kemalangan.
Ujarnya, produk ini juga telah menjalankan kolabarasi bersama syarikat HICOM-HBPO Sdn. Bhd. dan telah dianugerahkan geran penyelidikan pembangunan produk sebanyak RM20,000 di bawah skim geran Penyelidikan Jangka Pendek (PJP) Prototaip UTeM.
“Apa yang lebih penting, produk ini dapat membantu pemandu mengurangkan faktor kecuaian manusia ketika memandu seterusnya mengurangkan statistik kemalangan jalan raya dan menyelamatkan nyawa,” ujarnya lagi