Skip to main content
26 May 2022

UTeM dan Keysight Technologies kongsi kepakaran dan penyelidikan teknologi berimpak dunia

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menjadi pilihan pihak industri multinasional bertaraf dunia Keysight Technologies meneguhkan hubungan dan perkongsian kepakaran universiti dan industri secara berterusan.
 
Syarikat pengeluar peralatan pengukuran frekuensi radio dan gelombang mikro berteknologi tinggi berpengkalan di Amerika Syarikat ini telah menjalinkan kerjasama industri bersama UTeM sejak tahun 2018 lagi dan turut bersama dalam penyelidikan 5G di UTeM.
 
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar berkata, UTeM amat menghargai kerjasama baik yang diberikan oleh pihak Keysight Technlogies dan hubungan strategik ini terus menjana hasil yang menguntungkan kedua-dua pihak.
 
Jelasnya, sebagai sebuah universiti awam teknikal berprestij, UTeM terus menyumbangkan khidmat kepakaran dalam konteks penyelidikan dan berkaitan kepada pihak industri dan begitu juga sebaliknya bagi pihak industri.
 
Katanya, terbaru pihak Keysight Technologies telah menyumbangkan 4 unit peralatan makmal Smart Bench Essential bernilai RM 12,709.00 kepada UTeM yang terdiri daripada EDUC1052G InfiniiVision 1000 X-Series Oscilloscope with WaveGen, EDU33212A Waveform Generator, EDU36311A DC Power Supply dan EDU34450A Digital Multimeter.
 
"Terdahulu, Keysight Technologies turut telah menyumbang peralatan Power Analyzer berharga RM80,000 pada tahun 2018 bagi Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) menjalankan program Pensijilan Kompetensi UTeM-Keysight RF and Microwave Student Industry-Ready Certification bermula tahun 2019 sehingga sekarang.
 
"Sumbangan peralatan penyelidikan ini juga adalah indikasi kepada kepercayaan mereka terhadap kualiti penyelidikan dan pengajaran yang ada di Makmal Penyelidikan Gelombang Mikro FKEKK," ujarnya dalam kenyataan yang diberikan
sewaktu kunjungan pihak Keysight Technologies ke UTeM baru-baru ini di kampus induk UTeM, Durian Tunggal.
 
Pihak Keysight Technologies diwakili oleh Education & Government Program Manager for South Asia Pacific, Siti Norfaeza Alias dan Education & Research Business Development Manager for Asia Pacific, Daniel Yap.
 
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Massila Kamalrudin menyatakan kerjasama baik industri dan UTeM adalah bertepatan dengan aspirasi UTeM untuk melahirkan graduan profesional, berkompetensi tinggi serta memenuhi keperluan dan kehendak semasa industri peringkat global.
 
Beliau berharap UTeM terus meluas dan memantapkan lagi hubungan strategik bersama industri dan bersama mendepani gelombang perubahan teknologi semasa dunia dari semasa ke semasa selari dengan Pelan Strategik UTeM 2021-2025 yang ketiga iaitu Solution Providers for Industrial and Societal Advancement