Skip to main content
Durian Tunggal, Melaka - Lebih 100 orang mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyertai program kesedaran kitar semula yang telah dianjurkan bersempena dengan Hari Kitar Semula Sedunia 2022, baru-baru ini.
 
Program bercorak pameran, taklimat kesedaran kitar semula dan aplikasi KITA Recycle serta aktiviti kuiz ini telah diadakan di Perpustakaan Laman Hikmah UTeM.
 
Program ini telah dianjurkan oleh Kolej Kediamaman Satria Tuah dengan kerjasama Pejabat Keselamatan Pekerjaan dan Kelestarian Alam Sekitar (KPKA) UTeM serta SWM Environment Sdn Bhd ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.
 
Pengetua Kolej Kediaman Satria Tuah UTeM, Dr Al Amin Mohamed Sultan berkata, ini adalah program pelengkap berkaitan kitar semula kerana projek rintis kitar semula yang menempatkan fasiliti pengumpulan barangan yang boleh dikitar semula telahpun ditempatkan di sini.
 
Jelasnya, pada masa yang sama aplikasi KITARecycle yang digunakan untuk urusan kitar semula ini secara tidak langsung dapat menambah pendapatan buat para mahasiswa kerana setiap kali barangan kitar semula dihantar ia akan disimpan dalam bentuk mata ganjaran yang seterusnya boleh ditukarkan kepada wang ringgit.
 
“Program ini secara langsung menjadi elemen penguat kitar semula di kediaman kampus kerana fasiliti pengumpulan telah disediakan hasil kerjasama kami dengan pihak SWM.
 
“Kini adalah fasa memastikan barangan yang sesuai untuk kitar semula dapat diasingkan dengan baik,” katanya lagi yang juga merupakan Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, UTeM.
 
Sementara itu, Pengarah Program, Jeremy Raaj 22 berkata, program bercorak santai dan bermanfaat ini mencambahkan ilmu berkaitan kitar semula yang menjadi tunjang utama dalam mengurangkan penghasilan sampah yang biasanya dilupuskan di tapak
pelupusan sampah yang mana mempunyai pelbagai kesan buruk kepada manusia dan alam.
 
“Aktiviti seperti ini adalah bertepatan dengan usaha murni pihak universiti dalam menjayakan Matlamat Pembangun Mapan (SDG) serta misi Bandar Hijau oleh kerajaan negeri Melaka,” kata Jeremy yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.
 
Mengambil makluman situasi endemik yang turut berkait rapat dengan penghasilan sisa dan sampah yang banyak, penganjuran program ini tepat pada waktunya sebagai panduan dan kesedaran kepada mahasiswa terhadap proses pengurusan sisa serta persediaan untuk kitar semula.