Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan program berimpak melibatkan rangkaian perusahaan kecil dan sederhana (SME) pelbagai menerusi UTeM- Malaysian Investment Development Authority (MIDA) Industry Roundtable 2022.
 
Program yang melibatkan 11 wakil industri yang pelbagai ini telah diadakan bertempat di Dewan UTeM 1, Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.
 
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar berkata, program ini menjurus kepada perkongsian pengalaman dan maklumat universiti berkaitan keperluan industri, kerajaan dan profesion kejuruteraan dalam konteks kepakaran UTeM serta perkembangan masa kini.
 
Jelasnya, ianya turut melibatkan perbincangan peluang kerjasama, perkongsian pengalaman serta teknologi bersama pihak SME, agensi luar dan komuniti yang turut terlibat bersama.
 
Katanya, antara lain program ini turut mensasarkan input bersama industri dan agensi luar bagi menerokai bidang baharu yang berkaitan dengan aspek pembangunan Internet of Thing (IoT) dan Revolusi Industri IR 4.0 yang boleh diterapkan dalam universiti dan komuniti setempat.
 
Pengarah, Pusat Kolaborasi Industri & Masyarakat, Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Ts Dr Effendi Mohamad berkata, program ini turut mempromosikan bidang kepakaran UTeM.
 
Katanya, terutamanya dalam perundingan dan penyelidikan yang boleh dijalankan bersama bagi pembangunan sumber manusia menerusi latihan jangka pendek, program pemindahan ilmu (KTP) dan program kemasyarakatan berkaitan di samping IoT dan IR 4.0.
 
 
UTeM-MIDA Industry Roundtable 2022 melibatkan pihak dari MIDA, Pentavest Holdings Sdn. Bhd., Taiko Drum Industries Sdn. Bhd., WEO Optronics Sdn. Bhd.,Juta Food Industries Sdn. Bhd., Ansell N.P. Sdn. Bhd., Omega Fabricatuion Sdn. Bhd., YF Packaging Sdn. Bhd., Boingtech Malaysia Sdn. Bhd., Muehlbauer Technologies (M) Sdn. Bhd. Dan Koa Denko (M) Sdn. Bhd.
 
Program tersebut merupakan kesinambungan dari 7 program Mesyuarat Meja Bulat UTeM yang pernah diadakan sejak dari tahun 2011 hingga 2018 yang berjaya menghimpunkan lebih 80 pemimpin-pemimpin dan pemain-pemain industri dan komuniti