Skip to main content
Melaka, 14 Oktober : Prestij dan keunggulan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah di persada dunia apabila UTeM disenaraikan dalam penarafan Times Higher Education (THE) University Rankings by Subject 2022.
 
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof. Ir Dr. Ghazali Omar berkata, daripada senarai terkini yang diumumkan THE pada 13 Oktober 2021, 3 bidang utama UTeM telah berjaya tersenarai dalam THE University Rankings by Subject 2022.
 
Jelasnya, bidang yang dimaksudkan adalah bidang kejuruteraan, UTeM berada pada kedudukan 1001+, bidang sains komputer pada kedudukan 801+ dan dalam bidang perniagaan dan ekonomi pula pada kedudukan 601+.
 
Ujarnya, penyenaraian ketiga-tiga bidang utama ini dilihat bertepatan sekali dengan bidang tujahan UTeM iaitu pembuatan termaju.
 
“Pencapaian UTeM dalam senarai universiti terbaik dunia ini membuktikan bahawa UTeM sebagai sebuah institusi pengajian ilmu terutamanya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan yang setanding dengan universiti terkemuka di peringkat antarabangsa.
 
“Pencapaian yang membanggakan ini adalah hasil daripada kerjasama bersepadu segenap lapisan pengurusan tertinggi, pensyarah, pentadbir dan seluruh warga UTeM amnya hasil penghayatan tagline #teamUTeM yang diperkenalkan oleh mantan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr.Raha Abd Rahim,” ujarnya lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
 
Mengulas lanjut Dr Ghazali berkata, UTeM mensasarkan pencapaian ini akan sentiasa diperbaiki secara berterusan berteraskan Pelan Strategik 2021-2025: ‘Seven Strategic Goals of UTeM’ dalam tempoh 5 tahun mendatang.
 
Katanya, penarafan THE World University Rankings by Subject ini bermula sejak tahun 2010 ini berfokus kepada sebelas bidang utama dan penilaiannya dibuat menerusi 5 komponen iaitu pengajaran, penyelidikan, sitasi, prospek antarabangsa dan pemindahan Ilmu.