Sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mengharumkan nama negara dengan merangkul pingat emas di The World Invention Creativity Olympics (WICO) 2021, Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.
Kejayaan empat orang pelajar UTeM itu adalah menerusi Dron ciptaan mereka yang telah diiktiraf barisan panel bertaraf dunia di WICO 2021 yang dianjurkan oleh Korea University Invention Association secara dalam talian.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini selari dengan matlamat UTeM untuk memastikan mahasiswa atau TUAH UTeM terus menyerlah bukan hanya di peringkat nasional malahan merentas sempadan global.
Jelas beliau, ini juga menjadi lonjakan kecemerlangan buat mereka dalam aspek kompetensi mempraktikkan segenap ilmu dan pengetahuan dalam dunia sebenar,
Produk inovasi yang dikenali sebagai Hybrid Vertically Take Off and Landing Unmanned Aerial Vehicle (VTOL-UAV) ini dibangunkan oleh sekumpulan pelajar bersama barisan penyelia mereka.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) merangkap ketua penyelia projek ini, Dr Juffrizal Karjanto berkata, Dron ini mula dibangunkan secara berperingkat bermula pada awal tahun 2020 sehingga pertengahan tahun 2021 dan pembangunan berterusan dilakukan sehingga kini.
Ujarnya, antara kelebihan produk ini ianya dibangunkan dengan kos efektif dan berkeupayaan komersial peringkat tempatan dan antarabangsa bagi kegunaan pengawasan, pencarian dan penghantaran ke kawasan yang terbuka serta ruangan sempit.
“Produk ini turut telah diuji oleh Malaysian Unmanned Drone Activities Society (MUDAS) dan Dron ini mempunyai kelajuan sehingga 50 km/j di samping berkeupayaan terbang lebih daripada 80 kaki dan mempunyai waktu penerbangan sehingga 2 jam tanpa pengecasan semula,” ujarnya lagi.
Mengupas mengenai cabaran dan kesungguhan kumpulan pelajarnya Juffrizal berkata, beliau amat kagumi dengan dedikasi dan semangat yang telah dipamerkan mereka sejak awal penciptaan sehinggalah berjaya mengukir kemenangan di peringkat antarabangsa,
Kumpulan pelajar UTeM ini terdiri daripada pelajar tahun 2 Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Iqbal Hakimi Mohammad Feirdaus (20 tahun) dan pelajar tahun 4 Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian, Nurul Khalida Kasim (23 tahun).
Dua pelajar lagi adalah pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian, Muhammad Haziq Mohd Hamizat (22 tahun) dan pelajar tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pangkalan Data) dengan Kepujian, Aqil Haikal Jalalus Sayuti (21 tahun).
Kejayaan ini turut sama dijayakan oleh 2 orang penyelia kumpulan ini dengan berkongsi kepakaran mereka iaitu Pensyarah Kanan FKM Ir. Dr. Fudhail Abdul Munir dan Dr. Nidzamuddin Md. Yusof.
Mengulas lanjut, Juffrizal berkata, kami berharap produk ini terus mampan dengan keperluan kini di samping produk tempatan ini mampu dikomersilkan agar dapat menyumbang khidmat kepada masyarakat setempat dan global.
“Selain itu, kami juga berharap agar pencapaian kami ini dapat membuka mata peserta tempatan khususnya golongan belia untuk bersama mengembangkan bakat inovasi, sains dan teknologi agar negara terus setanding dengan negara-negara maju yang lain,” ujarnya lagi dalam kenyataan yang diberikan baru-baru ini.
WICO 2021 telah menghimpunkan lebih seribu pelajar serta pencipta lebih 25 buah negara seluruh dunia antaranya USA, Canada, China, Romania, Taiwan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Iran, Iraq, Thailand dan India.