Sekumpulan penuntut dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dikenali sebagai TUAH FKEKK bangga apabila satelit yang dibangunkan mereka telah berjaya merangkul kemenangan berganda dalam Malaysia SiswaSAT Competition2020.
Kejayaan berganda itu adalah apabila TUAH FKEEK, UTeM berjaya merangkul tempat ketiga secara keseluruhan pertandingan dan turut memenangi kategori Kerjasama Pasukan Terbaik.
Kedua-dua kejayaan tersebut melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,500.00 yang mana RM3,000.00 bagi hadiah ketiga manakala RM 500.00 bagi Kerjasama Pasukan Terbaik.
Di samping itu, mereka turut menerima Sijil Pertandingan Kebangsaan Rekabentuk dan Pembangunan Model Nano Satelit Peringkat Siswazah (SiswaSAT) 2020.
Pengumuman keputusan pertandingan ini telah diumumkan pada 23 Oktober lalu yang mana pertandingan ini telah bermula sejak 9 Mac sehingga 16 Oktober 2020 dianjurkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim gembira dengan perkembangan ini bilamana pensyarah dan pelajarnya berjaya mengaplikasikan ilmu dan kepakaran di pentas nasional.
Katanya, pencapaian ini menggambarkan bahawa UTeM terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi secara berterusan di segenap peringkat akar umbi dari kalangan pensyarah dan juga pelajarnya.
Beliau berharap agar kumpulan pensyarah dan mahasiswa UTeM terus menyerlah jauh dalam arena penyelidikan dan inovasi bukan hanya di peringkat nasional malahan di mata dunia sekaligus memberikan sumbangan impak kepada komuniti global.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), UTeM yang merupakan penyelia kumpulan TUAH FKEKK, Siti Aisyah Anas berkata, mereka telah harungi cabaran dalam pertandingan ini selama berbulan-bulan dalam membangunakan satelit mereka yang dikenali sebagai ‘TUAHSAT’.
Jelasnya, cabaran dilalui sejak dari peringkat awal merekabentuk model satelit berskala nano dengan sistem operasi seperti satelit sebenar yang digunakan di angkasa lepas.
Pasukan TUAH FKEKK dianggotai seramai 6 orang pelajar tahun kedua dari jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian iaitu Muhammad Safie Sijamsir, Syafiq Abdul Halim, Muhammad Izzat Haziq Osman, Siti Nur Syafiqah Mohamed Kamar, Muhamad Amirul Amin Wira dan Muhd Sabri Abdul Rahman..
“Pengalaman dalam pertandingan ini amat berharga buat mereka bilamana bukan setakat kepakaran teknikal sahaja yang diuji malah mereka turut dinilai dalam aspek penyediaan dokumen lengkap pembentangan kajian secara terperinci.
“Kami bersyukur dengan kejayan ini namun kami akan terus berusaha untuk tingkatkan kepakaran serta ilmu dalam bidang teknikal ini seterusnya menyasarkan untuk beraksi cemerlang di pentas dunia pula pada masa akan datang,” ujarnya lagi.