Skip to main content
Bagi menyerlahkan patriotisme maka Pusat Sukan Tumpuan (PST) Berbasikal Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) semalam telah melancarkan Program Jelajah PST Berbasikal KPT Tuah Merdeka 2020.
 
Majlis pelepasan bagi program ini telah berlangsung di Kompleks Pusat Sukan UTeM, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.
 
Program yang berobjektif untuk mendukung usaha KPT dalam menyemarakkan Sambutan Bulan Kemerdekaan dalam kalangan warga KPT tersebut turut menjadikan UTeM sebagai tumpuan atlet lumba basikal IPT bagi melahirkan pelumba yang berupaya mewakili negara.
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr, Raha Abdul Rahim menyatakan bahawa program ini merupakan inisiatif PST Berbasikal untuk memulakan aktiviti sukan di IPT sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
 
Jelasnya, platform ini menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penuntut atau TUAH UTeM di samping menguji ketangkasan atlet-atlet TUAH untuk program kayuhan sejauh 1198 kilometer.
 
Katanya, ianya dijangka mengambil selama 8 hari merentasi 10 negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.
 
"Menerusi acara sebegini, UTeM secara tidak langsung membuat persediaan pasukan ke peringkat yang lebih tinggi seperti Grand Prix dan Jejajah Malaysia pada masa akan datang," ujarnya lagi.
 
Sementara  itu Mengulas mengenai perincian perjalanan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap menyatakan bahawa pasukan jelajah PST Berbasikal KPT Tuah Merdeka 2020 telah berlepas dari UTeM dan melalui beberapa bandar utama iaitu Temerloh, Kuantan, Marang, Grik, Pulau Pinang, Kuala Kangsar, Brinchang dan turut melalui Institusi Pengajian Tinggi Awam lain seperti Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Sains Islam Malaysia.
 
Katanya, acara yang berlangsung turut dikawal dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan perlaksanaan program yang amat ketat seperti penjarakan sosial bagi setiap atlet, pemakaian pelitup muka sebelum dan selepas kayuhan, pengambilan rekod suhu badan yang kerap di samping penggunaan pembersih tangan.