Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima pengiktirafan oleh The Malaysia Book of Records dengan tajuk rekod “Longest Covid-19 Pandemic Poem” melalui buku kumpulan puisi Merentas Gempita: Pandemik 2020 karya Lim Swee Tin.
 
Penyerahan sijil pengiktirafan berkenaan telah disampaikan oleh wakil The Malaysia Book of Records iaitu Pengarah Pembangunan Perniagaannya Jwan Heah Yeow Hooi kepada Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim semasa majlis pelancaran buku tersebut di Auditorium Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal semalam.
 
Buku Merentas Gempita: Pandemik merupakan sebuah buku yang menghimpunkan 57 buah puisi mengenai pandemik Covid-19 yang mana puisi-puisi dalamnya  berkaitan segala aspek yang sedang dihadapi, kesan yang diperhatikan serta kebimbangan yang dilihat dan dirasai akibat kesan penularan pandemik Covid-19.
 
Buku ini ditulis oleh Profesor Dr. Lim Swee Tin sebuah nama besar dalam industri buku dan pemuisi terkenal yang menerima S.E.A Write Award tahun 2000. Beliau telah menghasilkan lebih 40 kumpulan puisi dengan lebih 180 buah antologi yang memuatkan karya-karyanya.
 
Profesor Datuk Wira Dr. Raha dalam ucapannya sewaktu pelancaran buku tersebut  melahirkan rasa gembira dan bertuah kerana pengiktirafan yang diterima melalui penerbitan buku ini. Ia merupakan sebuah kejayaan berganda buat UTeM apabila berjaya menerbitkan sebuah buku mengenai pandemik Covid-19 dan diiktiraf oleh MBOR.
 
Katanya, buku ini menjadi hadiah kepada semua rakyat Malaysia dan pasukan barisan hadapan yang berjaya melalui detik-detik  sukar dalam menangani penularan pandemik ini.
 
“Semua memori bersejarah yang sarat dengan ilmu ini diungkapkan dengan bijak oleh penulis membuatkan pembaca dapat mengimbau semula semua perkara sepanjang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia melalui puisi,” katanya lagi.
 
 
Buku ini boleh didapati secara dalam talian di Shopee, MohBeli, utembooks online dan ianya boleh juga dibeli secara walk in di Penerbit dan kedai buku terpilih sekitar Melaka.
 
Sempena pelancaran buku ini Pertandingan Video Deklamasi Puisi turut dilancarkan dengan hadiah lumayan sehingga RM1,000 kepada pemenang dan maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati dengan melayari laman web Penerbit UTeM.