Kerjasama strategik antara universiti awam teknikal berprestij dalam negara, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama Kerajaan Negeri Melaka terus diperkukuhkan.
Terbaru barisan kumpulan pengurusan tertinggi UTeM bersama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Academician Tan sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali, FASc telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Melaka pada 15 Jun 2020 yang lalu.
Delegasi UTeM telah disambut oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Yang Amat Berhormat Datuk Sulaiman Md Ali di pejabat beliau di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka.
Datuk Sulaiman gembira dengan kunjungan pihak UTeM ini sekaligus menzahirkan agenda dan pelbagai pengisian menarik akan terus dilaksanakan bersama antara UTeM dan Kerajaan Negeri Melaka.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM terus menyerlahkan peranannya sebagai institusi kecemerlangan ilmu di samping penyemarakkan bidang inovasi dan penyelidikan yang berjaya memberikan impak positif bukan hanya di peringkat nasional dan global malahan sudah tentunya diterjemahkan impaknya secara langsung kepada negeri Melaka.
Katanya, sehingga kini pelbagai agenda telah dijayakan oleh UTeM yang memberi manfaat besar kepada negeri Melaka segenap aspek menerusi perkongsian kepakaran dari universiti ini.
“Perkara tersebut jelas terisi menerusi pelbagai siri dan platform yang mana UTeM menggunakan kepakaran bagi membantu negeri Melaka dalam aspek pembangunan negeri di samping menyediakan pelbagai solusi dan sistem berkaitan,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut Dr Raha berkata, konsep “UTeM is Melaka dan Melaka is UTeM” juga turut akan terus diperkasakan lagi menerusi platform yang sedia ada di samping penggembelengan berterusan penyelidikan dan inovasi.
Turut bersama dalam lawatan tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff, Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Ir Dr Md Nazri Othman, Ketua Pegawai Operasi (COO) UTeM, Masdzarif Mahat serta barisan pengurusan UTeM.