Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengaturgerakkan penghantaran pulang seramai 56 orang penuntutnya bagi trip terakhir untuk Zon Selatan 2 tengah hari tadi.
Kesemua penuntut terbabit terdahulu telah melepasi saringan Kesihatan yang telah dilakukan sebelumnya.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, bagi operasi penghantaran ke Zon Selatan 2 ini melibatkan 2 buah negeri iaitu Negeri Sembilan dan Johor.
Jelas beliau, bagi Negeri Sembilan kawasan terlibat adalah Seremban manakala bagi negeri Johor melibatkan sepuluh kawasan.
Antara kawasannya adalah Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi, Kulai, Mersing, Kluang, Muar, Batu Pahat, Segamat dan Tangkak.
Menurut Dr Raha, bagi penghantaran penuntut ke selatan melibatkan penggunaan 6 buah bas dan sebuah van.
Menyentuh aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP),ianya telah dilaksanakan dengan jayanya oleh semua pihak terbabit termasuklah proses dinyah cemar oleh Jabatan BOMBA terhadap kenderaan yang digunakan.
Mengulas khusus mengenai trip ini beliau menyatakan bahawa sebelum ini kumpulan penuntut ini tidak boleh dihantar pulang kerana zon mereka masih merah dan kini telah pun berubah dan dibenarkan pulang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan BOMBA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi yang terlibat sama dalam menjayakan operasi ini.
Terdahulu, pihak UTeM telah menyempurnakan 7 peringkat operasi penghantaran pulang penuntutnya ke seluruh negara sebelumnya lagi.