Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menandatangani 2 Memorandum Persefahaman (MoU) dan 1 Memorandum Perjanjian (MoA) secara serentak bersama 3 syarikat berprestij dalam negara.
 
Majlis tersebut dilangsungkan serentak di Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini melibatkan syarikat Testhub Sdn. Bhd., Seenan Utama Sdn. Bhd. dan Integrasi Pintar Sdn. Bhd.
 
Dalam majlis tersebut menyaksikan pihak UTeM turut telah menerima Geran Dana Penyelidikan Industri berjumlah hampir setengah juta daripada ketiga-tiga pihak industri berkenaan bagi tujuan penyelidikan berimpak yang akan dijalankan bagi tujuan terbabit.
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, MoU antara UTeM dan Testhub Sdn. Bhd. bagi kerjasama kedua-dua pihak untuk membangunkan sistem automasi bagi menambah baik proses pengujian litar bersepadu yang mana pembangunan sistem automasi melibatkan sejumlah kos dan pihak Testhub bersetuju untuk memberikan peruntukan bagi menampung kos tersebut melalui Geran Dana Penyelidikan Industri.
 
Jelas beliau, pihak Testhub Sdn. Bhd. juga bersetuju untuk menyumbang idea dan kepakaran dalam pemurnian silibus kursus BEEC 4844 Pengujian Litar Bersepadu yang merupakan kursus elektif bagi program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Komputer (Sistem Komputer).
 
"Hubungan baik antara UTeM dan Testhub Sdn. Bhd. telah lama terjalin dan seramai 50 orang jurutera yang dimiliki mereka, hampir 40 peratus atau 19 orang jurutera adalah merupakan graduan UTeM dan sehingga kini pula seramai 22 orang pelajar tahun akhir UTeM telah menjalani latihan industri di Testhub Sdn. Bhd. dan telah tamat dengan jayanya," ujarnya lagi.
 
Dr Raha berkata, dalam majlis yang sama satu lagi MoU pula telah ditandatangani UTeM bersama Seenan Utama Sdn. Bhd. menyaksikan kerjasama untuk menjadikan proses pembuatan dalam menghasilkan serbuk rumpai laut (seaweed powder) lebih komprehensif dan lebih menjimatkan masa.
 
Katanya, pelbagai peralatan dan mesin baru akan dibangunkan menerusi kerjasama ini seperti spin grind dryer, platform dan tank yang mana mesin ini akan diintegrasikan dengan mesin-mesin lain sedia ada seperti Conveyor, Squeezer dan Cyclone Grinder.
 
Ujarnya, bagi pembangunan mahasiswa pula, sehingga kini, Seenan Utama Sdn. Bhd. telah menerima 5 orang pelajar Fakulti Kejuruteraan Pembuatan bagi menjalani latihan industri dan bagi masa akan datang, projek sarjana muda dan diploma berdasarkan masalah industri akan diwujudkan bagi membantu mempertingkatkan produktiviti syarikat dengan kerjasama antara fakulti dan syarikat.
 
Menurut Dr Raha, MoA antara UTeM dan Integrasi Pintar Sdn. Bhd. pula menyaksikan kolaborasi melibatkan kepakaran kumpulan penyelidikan di Pervasive Education Technology (PET) di bawah C-Act, dan Research and Innovation Management Advancement (RIMA) di bawah C-TeD bersama penyelidik dari Universiti Malaysia yang berkolaborasi dengan Integrasi Pintar Sdn. Bhd.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, menerusi MoA ini akan membangunkan personalised learning management system yang interaktif dan menarik bagi kegunaan generasi milenia dan Generasi Z sesuai dengan tuntutan Industrial Revolution 4.0 serta Education 4.0.
 
Pembangunan sistem akan mula dilakukan oleh pasukan penyelidik dari UTeM dan Integrasi Pintar Sdn. Bhd. manakala pembangunan kandungan akan dilakukan bersama subject matter experts (SMEs) dari Maktab Rendah Sains Mara yang akan dipilih serta beberapa pihak lain yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam pengajaran serta pengalaman luas dalam sistem Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
 
Majlis menandatangani MoU dan MoA tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim bagi mewakili Naib Canselor UTeM manakala pihak industri pula dihadiri oleh Pengarah Urusan TestHub Sdn. Bhd., Wang Choon Seang, Pengarah Saanen Utama Sdn. Bhd. Abdul Karim Mohamad Nasir dan Pengarah Operasi & Projek Integrasi Pintar Sdn. Bhd., Helmi Mohd Kasim serta barisan pengurusan tertinggi UTeM.