Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menggarapkan konsep Kompetensi Teras Kegemilangan dalam kalangan mahasiswanya di samping pengetahuan tinggi dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejurteraan, teknologi maklumat dan komunikasi serta industri.
 
Selari dengan itu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UTeM memberikan pendedahan sebenar tentang konsep industri sebenar lebih awal kepada mahasiswanya menerusi lawatan industri di samping Career Talk yang disampaikan terus oleh pihak industri terlibat.
 
Antara industri yang terlibat dalam lawatan mereka adalah Central Sugars Refinery, Jimah Energy Ventures Sdn. Bhd., STMicroelectronics Sdn. Bhd., SunPower Malaysia Manufacturing Sdn. Bhd., Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., Xinyi Solar Malaysia, ABB Malaysia Sdn. Bhd. Dan Hager Engineering (M) Sdn. Bhd. serta Central Cable Berhad.
 
Terbaru, seramai 30 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan enam orang tenaga pengajar FTKEE telah selami sendiri pengalaman dalam bidang teknikal dan kerja-kerja berkaitan yang terdapat di Syarikat Central Cables Berhad, Melaka baru-baru ini.
 
Menurut Dekan FTKEE, Dr. Rostam Affendi Hamzah menyatakan bahawa lawatan yang dianjurkan turut bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para pelajar berkenaan dengan sistem automasi, kawalan, instrumentasi sistem kuasa dan tenaga boleh diperbaharui juga pengangkutan elektrik.
 
Tambah beliau lagi, menerusi lawatan ini, para mahasiswa dapat memperkasakan ilmu yang telah dipelajari dalam kuliah dan amali di makmal berteknologi tinggi di UTeM dengan mengaitkannya kepada keadaan sebenar yang digunakan di industri tersebut.
 
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim mengulas lanjut mengenai perkara tersebut menyatakan bahawa lawatan sebegitu
amat penting bagi mahasiswa kerana menerusi cara sebegitu, mahasiswa dapat didedahkan kepada teknologi terkini yang digunapakai di industri kuasa, automasi, kawalan dan instrumentasi.
 
Tambah beliau, menerusi pendekatan yang digunakan, para mahasiswa kelak akan lebih bersedia untuk menghadapi suasana kerja yang sebenar di industri kelak sebaik sahaja mereka tamat pengajian dan melangkah masuk ke alam pekerjaan.