Skip to main content
Sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melaksanakan program khidmat komuniti merentas sempadan negara di Thailand baru-baru ini.
Mereka adalah dari kalangan mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FTKMP) UTeM.
Menurut Pengarah Program bagi FTK UTeM, Afiq Hamizan Syaharudin berkata, program ini menarik kerana dijayakan bersama dengan kumpulan mahasiswa dari Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang lain.
Jelasnya, ianya terdiri dari UTeM bersama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Katanya, antara objektif program ini adalah memupuk semangat keprihatinan dan hulurkan bantuan kepada komuniti antarabangsa yang memerlukan dan memilih untuk berbakti di kawasan perkampungan Bantaped Thepa, Songkhla, Thailand.
Menurutnya, antara aktiviti yang dilakukan ialah mengecat tadika, membuat latihan dalam kumpulan bersama-sama dengan kanak-kanak dan memasak untuk penduduk setempat.
“Selain itu, kelab persatuan pelajar dari setiap universiti telah memberi sumbangan makanan harian kepada penduduk setempat sekaligus mendedahkan mereka tentang kepelbagaian masyarakat peringkat global,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, platform ini juga berjaya mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa mahasiswi MTUN sendiri di samping hubungan antara 2 buah negara.
Program selama 3 hari 2 malam di bumi Thailand itu turut diisi oleh kumpulan mahasiswa MTUN dengan mengunjungi Universiti Thaksin, Songkhla, Thailand lantas mengeratkan hubungan pendidikan tinggi 2 hala antara Malaysia dan Thailand.