Skip to main content
9 January 2020
Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diterapkan dengan pengetahuan dan kemahiran berkonsepkan kompetensi teras kegemilangan dan pada masa yang sama mereka turut bergiat dalam melaksanakan program khidmat masyarakat.
 
Terbaru, seramai 41 orang Mahasiswa Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP), UTeM telah menjalankan program khidmat masyarakat bertempat di Surau Al-Barakah, Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, Melaka.
 
Pengarah Program yang merupakan mahasiswa FTKMP UTeM, Mohd Rahimi Mustapha berkata, kami mempraktikkan akan apa yang telah kami pelajari di UTeM dalam program khidmat masyarakat ini dengan membuat penyelenggaraan terhadap unit-unit penghawa dingin di surau tersebut.
 
Jelasnya, menerusi matapelajaran ‘Penyelenggaraan Sistem HVAC’, mahasiswa tahun 3 jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Penyejukan dan Penyaman Udara) tersebut telah memeriksa dan menyelenggara sebanyak 10 unit penghawa dingin yang digunakan di Surau Al-Barakah tersebut.
 
Tambah beliau, ia merupakan proses pembelajaran yang sangat penting bagi meningkatkan keyakinan kami sebelum menempuh sesi latihan industri yang bakal berlangsung selama enam bulan dan seterusnya menempuh alam pekerjaan yang sebenar.
 
Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (JTKM), FTKMP UTeM, Dr. Muhammad Ilman Hakimi Chua Abdullah menyatakan bahawa komuniti setempat amat berterima kasih dan menzahirkan rasa gembira kepada semua yang terlibat menjayakan aktiviti program khidmat masyarakat ini.

Ujarnya lagi, beliau berharap bahawa program yang pertama kali dianjurkan ini juga diharapkan akan menjadi perintis kepada program seumpamanya dan dapat diteruskan pada masa akan datang.
 
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim menyatakan bahawa keberadaan UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu di negeri ini terus memberikan impak langsung kepada komuniti sekitar.
 
Katanya, UTeM terus prihatin kepada aspek pembangunan dan khidmat komuniti sekaligus memupuk budaya prihatin dalam kalangan mahasiswa yang bersifat holistik.