Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengukuhkan hubungan bersama dengan pelbagai rangkaian industri dari dalam dan luar negara sekaligus memberikan impak situasi menang menang kepada kedua-dua belah pihak.

Senario ini turut telah menyemarakkan dimensi perkongsian dan kepakaran teknologi yang dimiliki oleh UTeM dan pihak industri yang mana kini terus bersama merentasi gelombang Revolusi Industri 4.0.

Kesinambungan daripada hubungan baik antara UTeM dan industri, terkini Fakulti Teknologi Kejuteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) UTeM telah menerima dua set ‘Fabric Duct’ atau salur udara fabrik daripada Syarikat Prihoda Malaysia Sdn. Bhd.
Penyerahan tersebut telah disampaikan sendiri oleh Pengarah Urusan Syarikat Prihoda Malaysia Sdn. Bhd., Lee Wee Pin kepada Dekan FTKMP Prof. Madya Dr. Umar Al- Amani Azlan di Makmal Teknologi Industri HVAC FTKMP, Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh, Melaka sebelum ini.

Dr. Umar berkata, salur udara fabrik ini akan digunakan sebagai salah satu bahan pembelajaran yang berkait langsung dengan kursus Ijazah Sarjana Muda Mekanikal (Sistem Penyejukan dan Penyaman Udara / HVAC) yang terus menjadi pilihan ramai pada masa kini.

Ulas beliau, perkara ini memberikan kesan positif kerana para pelajar yang mengikuti pembelajaran kursus tersebut akan didedahkan secara terus dengan kepelbagaian dan teknologi terkini salur udara yang terdapat dalam pasaran dunia sekaligus mereka sentiasa ke hadapan dalam pasaran pekerjaan kelak.

Prihoda Malaysia Sdn Bhd merupakan pengedar tunggal bagi produk salur udara fabrik keluaran Prihoda yang berasal dari Rebublik Czech yang berteraskan teknologi salur udara bagi penggunaan sistem penghawa dingin yang kian mendapat permintaan tinggi dalam dan luar negara.

Ini merupakan kali pertama dilaksanakan oleh pihak Prihoda Malaysia Sdn. Bhd. seterusnya menjadikan UTeM menjadi institusi pengajian tinggi awam pertama menerima salur udara fabrik ini.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, pihak UTeM sentiasa menjaga hubungan baik yang sedia terjalin dengan pihak industri industri sekaligus menjadikan universiti sentiasa melahirkan graduan yang memenuhi acuan semasa keperluan industri.