Skip to main content

Bagi melahirkan pelajar yang holistik dan seimbang, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025, telah menitikberatkan akan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar. Oleh itu, bagi merealisasikan objektif ini, penganjuran karnival ini dilihat dapat membantu dalam memastikan pelajar mencapai kemahiran berbahasa khususnya dalam bahasa Melayu dengan baik. Penganjuran Karnival Bulan Bahasa Kebangsaan (KBBK) anjuran Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI) UTeM telah dianjurkan pada setiap tahun namun pada tahun 2019 ini, ianya telah dijenamakan kepada Karnival Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (KGDBK). Penganjuran pada tahun ini adalah pada 24 – 26 September 2019 bertempat di Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI), Kampus Induk, Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Penganjuran karnival ini bertujuan menyemarakkan kehangatan bulan bahasa tahun 2019 dengan penganjuran pelbagai program yang bersesuaian di peringkat Universiti.  Program yang dianjurkan menunjukkan tanda sokongan UTeM dalam memeriahkan sambutan bulan bahasa di peringkat kebangsaan. Tema yang dicadangkan untuk tahun 2019 ini adalah ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Selain itu, karnival ini bertujuan untuk mempromosi dan menobatkan produk bahasa, penerbitan, penulisan dan budaya Melayu di peringkat UTeM melalui jaringan kerjasama antara pelbagai pihak seperti Sekolah Kluster Kecemerlangan - Universiti Awam (SKKUA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN), Institut Warisan Melaka (INSWA), Perbadanan Muzium Melaka  (PERZIM) dan ADABI.

Antara objektif KGDBK 2019 adalah untuk 1) menyediakan satu platform bagi memperkukuhkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar, 2) meningkatkan kecintaan terhadap penguasaan Bahasa Melayu dan 3) memperkasakan jati diri dan citra bangsa Malaysia dalam kalangan pelajar UTeM.

Terdapat pelbagai program yang telah dirangka sepanjang tiga hari. Antaranya ialah 1) diskusi dan ekplorasi Bahasa, 2) penulisan esei dan 3) deklamasi puisi. Selain itu, antara pertandingan yang telah dijangka akan mendapat sambutan ramai ialah 1) pertandingan filem/video pendek, 2) bicara irama, 3) dondang sayang 4) debat dan 5) forum remaja. Oleh yang demikian, diharap dengan penganjuran KGDBK 2019 di UTeM, adalah sebagai tanda sokongan padu pihal universiti dalam memeriahkan sambutan bulan bahasa di peringkat kebangsaan. Selain itu, ianya diharap dapat membantu dalam menobatkan bahasa Melayu pada tahap yang lebih tinggi. Untuk sebarang pertanyaan bolehlah berhubung dengan Pengarah KGDBK 2019 iaitu Dr. Shahrulanuar Mohamed di This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau ditalian 06-2702724.