Skip to main content

Pusat Kelestarian dan Alam Sekitar (PKA), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Program Simple Guide to Composting and Recycling by Japan International Cooperation Agency baru-baru ini.

Program tersebut telah diadakan bertempat di 2 buah sekolah sekitar negeri Melaka iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Tun Razak, Bukit Katil dan Sekolah Kebangsaan Parit Melana, Durian Tunggal. 

Pengarah PKA UTeM, Prof. Madya Juhari Ab Razak berkata, program ini merupakan usahasama bersama Japan International Cooperation Agency (JICA) yang berobjektif memupuk kesedaran dan penghayatan generasi muda khususnya dalam aspek kebaikan amalan kitar semula dan pembuatan sendiri baja kompos.

Jelasnya, program tersebut turut melibat seramai 12 orang pelajar antarabangsa dari pelbagai negara sekaligus membantu meningkatkan penguasaan kemahiran komunikasi dalam kalangan para peserta di samping mencintai alam sekitar. 

Tambah beliau, pada hari tersebut, seramai 100 pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Tun Razak, Bukit Katil dan 200 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Parit Melana, Durian Tunggal telah turut serta dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.  

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim menyatakan bahawa program yang dijalankan tersebut amat bertepatan dengan senario semasa  dunia kini.

Katanya, inisiatif pelaksanaan program sebegini telah menzahirkan bahawa UTeM sentiasa menjalankan peranannya sebagai institusi kecemerlangan ilmu yang turut berkongsi kepakaran yang ada untuk pembangunan komuniti sejagat dalam aspek berkaitan.

Program sehari tersebut bermula di Sekolah Kebangsaan Kampung Tun Razak  pada sebelah paginya dan seterusnya disambung sesi keduanya di Sekolah Kebangsaan Parit Melana, manakala program tersebut telah dirasmikan dengan jayanya oleh Timbalan Pengarah PKA UTeM, Prof. Madya Dr. Musthafah Mohd Tahir.