Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Dr. Raha Abdul Rahim telah dilantik sebagai Ketua Kluster Kelestarian Alam Sekitar dan Penjanaan Sumber Tenaga Boleh diperbaharui Negeri Melaka (Smart Environment and Smart Energy), baru-baru ini,
Pelantikan Ketua Kluster dan Sekretariat Kluster bagi Melaka Smart City Advisory Council untuk Pelaksanaan Dasar Smart City Melaka ini diadakan sewaktu Mesyuarat Ketua-Ketua Kluster bertempat di Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka oleh Pengerusi Majlis Penasihat Bandar Pintar Melaka, Khoo Poay Tiong dan disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.
Melaka Smart City merupakan projek berimpak Kerajaan Negeri Melaka bagi menjadikan Melaka sebagai sebuah bandar raya pintar bertaraf antabangsa menerusi potensi negeri Melaka sebagai sebuah bandar teknologi hijau.
Sempena dengan pelantikan berkenaan, Prof. Dr. Raha mengucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Melaka kepada beliau untuk mengemudi Kluster Kelestarian Alam Sekitar dan Penjanaan Sumber Tenaga Boleh diperbaharui Negeri Melaka.
Jelas beliau, dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh UTeM menerusi para penyelidik dan ahli akademiknya maka amanah ini akan cuba dilaksanakan sebaik mungkin bagi membantu Melaka mencapai status Smart City yang dirancang semenjak dari tahun 2018 lagi.
Pada majlis Pelantikan tersebut, Naib Canselor UTeM tidak dapat hadir atas kekangan tugas dan telah diwakili oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UTeM, Prof. Dr. Goh Ong Sing.
Pada majlis yang sama juga, lima lagi Ketua Kluster turut dilantik pada hari berkenaan di mana Pengarah Jabatan Kerja Raya telah dilantik sebagai Ketua Kluster Smart Mobility, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dilantik sebagai Ketua Kluster Smart Living, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Ketua Menteri Melaka dilantik sebagai Ketua Kluster Smart Governance, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka sebagai Ketua Kluster Smart Economy dan Ketua Seksyen Smart City, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Ketua Menteri Melaka dilantik sebagai Ketua Kluster Khas Projek Melaka Smart Management System.