Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima 3 orang CEO Fakulti yang merupakan nama-nama besar yang berpengalaman luas serta berkepakaran tinggi dalam sektor perindustrian dalam negara dan juga multinasional.
Perkara tersebut telah diumumkan secara rasminya sewaktu majlis CEO Faculty Appreciation Night 2019 yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 11 Julai 2019 lalu.
Antara objektif penganjuran program berkenaan antaranya adalah bagi menghargai barisan Ketua Pegawai Eksekutif serta wakil-wakil syarikat ternama Malaysia di samping melantik barisan CEO Faculty bagi setiap universiti awam di Malaysia.
Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim berkata, UTeM sangat berbesar hati dengan pelantikan CEO Fakulti tersebut dan bersedia berganding bahu bersama ketiga-tiga pihak berkenaan bagi menjayakan pelbagai program berimpak bersama.
Jelas beliau, UTeM berharap dengan adanya 3 orang CEO Fakulti ini akan menjadi satu lonjakan yang lebih bersepadu kerana mereka adalah dari kalangan nama-nama besar yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam industri dan boleh dijayakan bersama dengan UTeM.
Tambah beliau, antara dimensi yang akan menerima kesan langsung yang diharapkan adalah dari aspek peningkatan kebolehpasaran graduan UTeM secara khususnya bilamana berlaku transaksi inisiatif pemindahan pengetahuan dan kepakaran dengan industri.
Pada majlis tersebut diumumkan bahawa Pengerusi Kumpulan Western Digital, Datuk Syed Hussian Al-Junid, CEO Syarikat CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof dan Naib Presiden Kumpulan selaku Pengurus Besar STMicroelectronics, Tan Chun Sheng telah dilantik sebagai CEO Faculty bagi UTeM.
Program CEO@Faculty membawa CEO tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta menjadi mentor kepada pelajar, pensyarah dan institusi pengajian tinggi dalam menguruskan perkara-perkara seperti pembangunan kurikulum untuk memenuhi keperluan industri.