Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) laksanakan program Melaka Smart River (MSR) sebagai inisiatif usaha pemuliharaan Sungai Melaka sekaligus meningkatkan kadar pelancongan di negeri ini.

Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM) UTeM, Prof Dr Goh Ong Sing berkata, antara objektif program berkenaan adalah 

bertujuan untuk memantau kualiti air dan udara di Sungai Melaka.

Jelasnya, ianya akan dilaksanakan dengan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) dan beberapa pengisian program berkaitan.

Ujar beliau, antara program yang akan diadakan adalah Melaka Smart River Challenge yang bertujuan untuk menguji kreativiti dan kebijaksanaan peserta dalam menyelesaikan masalah kebersihan Sungai Melaka.

Program-program ini akan memberikan impak langsung kepada memudahkan pemantauan kualiti Sungai Melaka melalui analitik dashboard MAIoT dan aplikasi mobil.

Ianya turut  membantu kerajaan negeri dari aspek mekanima pengurusan kawalan banjir di Melaka di samping membantu kerajaan negeri untuk merancang dan mengurus Sungai Melaka bagi meningkatkan lagi nilainya.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM Profesor Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM sentiasa prihatin dan sedia menggunakan kepakaran berkaitan dalam usaha membantu negeri Melaka.

Katanya, inisiatif ini jelas menzahirkan bahawa UTeM terus menyerlahkan peranannya bukan hanya dalam kemajuan akademik, penyelidikan dan inovasi malahan turut memoden dan meningkatkan kemajuan kepada komuniti dan negeri.

Jelas beliau, UTeM berharap generasi muda dapat menyedari sungai adalah khazanah alam yang perlu dipelihara supaya fungsinya dalam kehidupan seharian sentiasa berkekalan.

“Sungai kita adalah tanggungjawab kita bersama dan marilah bersama-sama memulihara serta mengembalikan kegemilangan dan keindahan Sungai Melaka,” ujar beliau lagi.

Projek ini merupakan kerjasama UTeM dengan Majlis Penasihat Bandar Pintar Melaka (SCAC) di samping turut dibantu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Badan Kawal Selia Air (BKSA), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).