Skip to main content

Pasukan Taekwondo Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dalam arena taekwondo apabila telah berjaya memenangi 2 pingat emas dan 2 pingat perak dalam 13th CK Classic International Taekwondo Championship 2019.

Pungutan keempat-empat pingat tersebut adalah 2 pingat emas menerusi acara Poomsae untuk kategori lelaki dan wanita berpasukan manakala pingat 2 pingat perak pula dimenangi menerusi acara poomsae campuran dan acara poomsae individu. 

Kejohanan taekwondo antarabangsa tersebut telah berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor pada minggu lalu menyaksikan penyertaan antarabangsa melibatkan dari pelbagai negara.


Acara poomsae bagi kategori lelaki berpasukan (19-30 tahun) telah dianggotai oleh mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), Muhammad Amer Danish Md Amerruddin dan Toriq Abdul Aziz Mohd Chozin manakala seorang lagi dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) iaitu Muhammad Faiz Mohd Kamal.

Acara poomsae perempuan berpasukan (19-30 tahun) yang turut memenangi pingat emas pula terdiri daripada mahasiswi dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Aina Farhanah Zailan dan Nurmala Sary Saidin manakala seorang lagi ahli pasukan mereka, Fakhirah Hazirah Shahrulazhar merupakan mahasiswi dari FKEKK.

Penyumbang 2 pingat perak menerusi acara poomsae campuran (19-30 tahun) disertai oleh Nurmala Sary Saidin dari FTMK dan Muhammad Faiz Mohd Kamal dari FKE manakala acara poomsae individu (19-30 tahun) pula adalah menerusi pesertanya Toriq Abdul Aziz Mohd Chozin dari FKEKK.


Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abd. Rahim merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan yang telah dikecapi oleh sekumpulan pelajar UTeM ini dalam arena taekwondo di peringkat antarabangsa.

Ujar beliau, semoga kejayaan sebegini turut dijadikan pembakar semangat kepada seluruh mahasiswa universiti agar sama-sama mengharumkan nama UTeM bukan hanya di peringkat nasional malahan merentas sempadan dunia bukan sahaja menerusi kejayaan akademik serta inovasi sahaja  malahan turut menyerlah menerusi bidang ko-kurikulum seperti sukan dan yang berkaitan.

"Bagi merealisasikan hasrat tersebut, UTeM turut telah melaksanakan pelbagai usaha serta inisiatif berterusan bagi melahirkan barisan mahasiswa yang berjaya mencakupi segenap bidang secara holistik," ujar beliau lagi.