Skip to main content

Jabatan Multimedia Interaktif, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Bengkel Asas Suntingan Video-Audio dan Produksi sebagai perkongsian kepakaran dan pendedahan kepada 17 orang guru-guru dan murid-murid dari TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) Sekolah Kebangsaan Duyong atau lebih dikenali sebagai Hang Tuah Channel, pada bulan lepas.

Menurut Dekan FTMK UTeM, Gs Dr Othman Mohd berkata, objektif progam ini bertujuan memberi pendedahan tentang asas-asas penyuntingan video dan audio menggunakan perisian terkini di samping  menggilap bakat murid-murid pelapis untuk produksi Hang Tuah Channel yang menghasilkan video Pusat Sumber Sekolah.

Jelas beliau, menerusi program yang berjalan selama setengah hari di FTMK, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal tersebut telah memberikan peluang kepada barisan peserta yang terdiri daripada murid-murid dan guru-guru tersebut untuk melihat sendiri kecanggihan kemudahan studio, bilik rakaman suara dan peralatan produksi yang terdapat di Jabatan Multimedia Interaktif, FTMK, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Program ini ternyata telah berjaya memenuhi objektif apabila mendapat maklumbalas positif dari Guru Besar Sekolah Kebangsaan Duyong, Mohd Fares Mustafa berharap agar program seperti ini dapat membantu pasukan Hang Tuah Channel untuk menghasilkan lebih banyak video pendidikan yang lebih berkualiti.

Projek TVPSS adalah satu projek khas berinovasi Pusat Sumber Sekolah - Sekolah di Malaysia dalam menyokong Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) abad ke 21 di samping menyerlahkan inisiatif pihak sekolah, kegigihan guru-guru dan kesediaan murid-muridnya, Hang Tuah Channel merupakan satu-satunya sekolah rendah Melaka yang bersiaran menerusi Astro Awani Jr.

Dengan kerjasama dari pihakFTMK UTeM ini maka diharapkan usaha ini dapat membantu pihak sekolah untuk terus mencungkil bakat anak-anak ini dalam bidang kewartawanan, komunikasi dan kemahiran literasi maklumat di sekolah serta meningkatkan keyakinan diri.

Program tersebut telah dihadiri oleh Dekan FTMK UTeM, Gs Dr. Othman Mohd, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Duyong, Mohd Fares Mustafa, Ketua Jabatan Multimedia Interaktif, FTMK Ts. Dr. Haziq Lim, Penyelaras Program, Dr. Nor Hafeizah Hassan serta barisan pegajar Dr. Mohd Hafiz Zakaria dan Mohd Lutfi Dolhalit.