Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama CELCOM AXIATA Berhad yang berlangsung bertempat di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.
MoU yang ditandatangani oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib bersama wakil CELCOM AXIATA, Chief Corporate Officer, Zuraida Jamaluddin adalah bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti keusahawanan khususnya kepada pelajar asnaf UTeM.
Menurut Dr. Shahrin, kerjasama strategik ini merupakan medan terbaik antara kedua-dua pihak menzahirkan keberkesanan berterusan tentang keusahawanan kepada golongan pelajar universiti ini terutamanya pelajar asnaf menerusi menawarkan empat program utama berbentuk keusahawanan kepada pelajar UTeM iaitu Celcom Siswapreneur @ UTeM, Program Modal Insan, Kaw-kaw Squad & first Business dan Food cart untuk pelajar Asnaf.
Katanya, jalinan kerjasama yang erat bersama organisasi dalam dan luar negara termasuk jaringan Universiti - Industri menerusi majlis MoU bagi kedua-dua belah pihak adalah bertujuan bagi memperjelaskan secara lanjut bagi kepentingan dan peranan masing-masing secara terperinci.
Menurut Pengarah CREATE, Prof. Madya Dr. Juhaini Jabar menyatakan Celcom Siswapreneur@UTeM merupakan program yang melahirkan pelajar yang mempunyai bakat, kemahiran serta gaya pemikiran seorang usahawan menerusi pendekatan SiswaDay yang akan mengkhusus kepada latihan dan ceramah usahawan digital, pemasaran jenama dan ceramah perniagaan dan SiswaMall yang merangkumi aktiviti berkaitan e-usahawan@MDEC, SiswaMall@11street dan Bootcamp@Google.
Jelas beliau, Program Modal Insan pula akan menggilap pelajar yang ada berpotensi untuk diberi pendedahan industri melalui latihan industri dan program khas untuk bakal graduan dan graduan yang akan menempuh alam pekerjaan dan Kaw-kaw Squad and first Business pula merupakan program asas yang mana latihan diberikan kepada pelajar untuk menjana pendapatan sendiri melalui jualan produk CELCOM AXIATA Berhad dengan peluang untuk mengikuti latihan khas tip-tip menjana kewangan semasa dalam pengajian.
“Menerusi program Food cart untuk pelajar Asnaf pula, CELCOM AXIATA Berhad akan menyumbang dua buah food cart berserta sedikit pembiayaan modal awal perniagaan untuk pelajar asnaf menerusi tabung wakaf/zakat CELCOM AXIATA Berhad sendiri manakala hasil keuntungan menerusi inisitiaf ini dapat dimanfaatkan kepada pelajar asnaf sepanjang tempoh pengajian di UTeM di samping diterapkan nilai-nilai keusahawanan yang positif sepanjang aktiviti dijalankan”, ujar beliau lagi.
Para pelajar yang terlibat akan diberikan pendedahan asas kemahiran keusahawanan berperingkat melalui program-program yang akan dianjurkan oleh CELCOM AXIATA bagi melahirkan pelajar yang berpengetahuan dan mahir kepada isu-isu semasa tenatang keusawahanan dan industry serta berpeluang mempraktikkan kitaran keusahawanan sebenar.