Dengan ketangkasan aksi gerakan dan pukulan taekwondo mengalahkan lawan maka mahasiswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Hamdanwahid Rinaldi telah berjaya merangkul pingat emas menerusi Acara Kyoruugi dalam 10th WTM (WT) - NSC Milo National Taekwondo Championship Poomsae dan Kyorugi, baru-baru ini.
Pertandingan Taekwondo Terbuka Peringkat Kebangsaan tersebut telah dianjurkan oleh Persatuan Taekwondo Malaysia bersama Majlis Sukan Negara bertempat di Arena Indoor Stadium, Olympic Council Malaysia, Kuala Lumpur dengan penyertaan dari 14 pasukan negeri dalam Malaysia di samping kelab-kelab taekwondo ekslusif dalam negara.
Pengarah Pusat Sukan UTeM, Dr. Rosli Saadan berkata, Hamdanwahid Rinaldi yang merupakan pelajar tahun kedua Diploma Kejuruteraan Pembuatan tersebut turut ditawarkan untuk menyertai Pasukan Kebangsaan dalam melayakkan diri mewakili Malaysia ke Sukan SEA yang bakal berlangsung kelak.
Jelas beliau, menerusi pertandingan seumpama ini, para atlet yang bertanding dapat mempelajari pelbagai teknik dan kaedah bagaimana mempraktikkan segala kemahiran dan pengalaman yang dimiliki di samping pelaksanaan strategi yang berkesan.
UTeM telah menghantar lima orang wakil termasuklah Nor Aidil Hafiz Abdul Karim dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Muhammad Faiz Mohd Kamal dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik yang meraih tempat kelapan dari 31 pasukan menerusi acara Poomsae, Toriq Abdul Aziz Mohd Chozin dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer yang meraih tempat ke 12 dan Muhd Amer Danish Md Amerruddin dari yang sama telah meraih tempat ke 20 dalam acara yang sama.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar berkata, penganjuran seumpama memberi peluang kepada atlet-atlet seluruh Malaysia mempamerkan bakat dan kemahiran seni masing-masing serta penzahiran pengalaman menerusi ertandingan sebenar.
"Di samping itu, penganjuran seumpama ini sudah tentu turut membantu negara mengenalpasti barisan atlet barisan pelapis untuk mewakili Malaysia ke pertandingan di peringkat dunia," komen beliau lagi.