Skip to main content

Pusat Edu-Pelancongan, Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mula membuka gerbang pelancongan di sini.

Selari dengan itu para pelancong dari dalam dan luar negara boleh mula menikmati pakej edu-pelancongan berkonsepkan “Learning is Fun” di sekitar Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim berkata, Edu-Pelancongan UTeM telah berada pada tahap sedia dipasarkan.

Katanya, hasil dari lawatan tapak ke beberapa produk Edu-pelancongan UTeM pada bulan Januari lalu oleh Bahagian Pembangunan Pakej, Unit Pembangunan Pakej dan Acara, Tourism Malaysia dan Kementerian  Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) telah memberikan lampu hijau agar Edu-Pelancongan UTeM boleh dipasarkan.

Jelas beliau, perkara ini turut telah diterjemahkan secara rasmi menerusi Bengkel Penetapan Pakej Pelancongan pada 25 dan 26  Februari 2019 lalu bersama dengan MOTAC dan Tourism Malaysia di sini.

“Produk Edu-pelancongan UTeM iaitu hasil penyelidikan UTeM diterjemahkan dan dipakejkan serta dipersembahkan secara santai, menarik dan berkualiti serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat umum,” ujarnya.

Sementara itu Pengarah Pusat Edu-Pelancongan UTeM, Profesor Madya Dr Haslinda Musa berkata, sewaktu bengkel berkenaan, beberapa pakej Edu-Pelancongan UTeM telah ditonjolkan menerusi demo antaranya aktiviti sukan dalam kampus seperti berkayak di tasik, mengayuh basikal, jungle tracking, flying fox.

Katanya, dalam majlis yang sama, turut dipersembahkan pertunjukan kebudayaan seperti tarian melayu, silat dan gendang cina di samping itu turut disediakan peluang pemanduan kenderaan elektrik dan kayuhan beca elektrik ciptaan penyelidik UTeM di sekitar kampus.

“Program-program tambahan lain yang disediakan seperti Kem Arduino Robotik, Kem LEGO Robotik, kursus Asas Pemasangan Solar, pengendalian drone dan aktiviti keusahawanan di samping pengisian kerohanian lengkap serta bermalam dalam kampus UTeM,” ujar beliau lagi.

Dalam bengkel Edu-Pelancongan UTeM yang diadakan baru-baru ini turut  disertai oleh 16 agensi pelancongan terpilih yang mana para agen pelancongan ini adalah berpengalaman dalam mempromosi dan mengetengahkan produk-produk pelancongan berasaskan pendidikan di negara ini.

Pusat Edu-Pelancongan UTeM juga dikenali sebagai UTourism amat berbesar hati dengan kolaborasi dari Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri, MOTAC serta Tourism Malaysia dalam menjayakan aspirasi berimpak ini.