Skip to main content

Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Kursus Kepemimpinan dan Pengurusan Organisasi1 Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM sesi 2018/2019.

Kursus yang dihadiri oleh 25 orang ahli MPP UTeM ini telah diadakan di salah sebuah resort bertempat di Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat HEP UTeM, Misdom Lan berkata, kursus ini merupakan platform bagi memberikan pendedahan kepada barisan ahli MPP sebagai generasi pemimpin pelapis masa hadapan yang berdisiplin, menghormati dasar dan matlamat kerajaan.

Jelasnya, dalam kursus ini ahli MPP turut didedahkan berkenaan dengan kaedah serta teknik-teknik kepimpinan dan pengurusan organisasi yang efisyen dan efektif.

“Ianya adalah bagi memastikan organisasi yang dipimpin memenuhi matlamat dan objektif yang telah ditetapkan dan boleh dicapai dengan lebih strategik. 

“Di samping dapat mewujudkan komitmen yang tidak berbelah bahagi di kalangan pelajar dalam menjayakan misi dan visi universiti selain merealisasikan integrasi pendidikan sepanjang hayat,” ujar beliau lagi.

Antara slot yang turut menjadi pengisian bagi program ini adalah adalah kepimpinan berkesan melalui kaedah Neuro Linguistic Program (NLP) yang dikendalikan oleh pakar dari UTeM.

Di samping itu Alumni MPP UTeM turut berkongsi ilmu dan pengalaman kepada para peserta menerusi slot cabaran dan teknik dalam pengurusan organisasi kepimpinan serta komunikasi berkesan.