Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan majlis meraikan lima orang pelajar dari Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITSN), Indonesia baru-baru ini.
Majlis ini adalah bagi menzahirkan rasa terima kasih daripada pihak FKP UTeM kepada semua pelajar berkenaan yang telah berjaya mengikuti Program Mobiliti Inbound di UTeM selama satu semester di Kampus Induk UTeM Durian Tunggal.
Menurut Prof. Madya Dr Zamberi Jamaludin berkata, program mobiliti pelajar adalah sebahagian daripada agenda bersama antara UTeM dan ITSN dalam merealisasikan hubungan strategik antara kedua-dua universiti dari rantau ini.
Katanya, diharapkan para pelajar berkenaan telah berjaya mendapatkan perkongsian ilmu dan kepakaran serta menikmati suasana pembelajaran yang kondusif lagi unik di universiti awam teknikal yang berprestij di negara ini.
Majlis ini telah dihadiri oleh Dekan FKP, Dr. Zamberi Jamaludin bersama Timbalan Dekan (Akademik), Prof. Madya Dr. Zuhriah Ebrahim, Timbalan Dekan (Pembangunan Pelajar) dan barisan Ketua Jabatan dan Penyelaras Program.
Program Mobiliti Outbound merupakan program usahasama Institut Teknologi Sepuluh Nopember bersama UTeM yang mana pada setiap semester, kedua-dua universiti akan bertukar-tukar pelajar bagi melanjutkan pengajian selama satu semester.
Sejak dari awal penganjuran Mobiliti Outbound tersebut bermula pada tahun 2011 lagi UTeM dan ITSN telah menghantar dan menerima 92 orang pelajar kedua-dua buah universiti bagi memenuhi program usahasama tersebut.