Skip to main content

Bagi membudayakan golongan cerdik pandai teknologi maklumat maka golongan kanak-kanak perlu diberi pendedahan awal tentang bidang yang terus menjadi tumpuan ramai ini.

Selari dengan itu Kelab Kejuruteraan Perisian, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan program Pengaturcaraan Komputer untuk Kanak-kanak.

Program yang diadakan baru-baru ini bertempat di FTMK Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal mendapat sambutan hebat daripada penyertaan kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun.

Menurut Pengarah Program Muhammad Asnawi Hashim, pelajar Tahun 1 FTMK berkata, program yang dikenali sebagai Coding For Kids ini berobjektif antaranya untuk memberi pendedahan pengaturcaraan awal kepada pelajar sekolah rendah.

Jelas beliau, teknik yang digunakan dalam menjalankan perkongsian ilmu dalam program ini adalah dengan mengaplikasikan Modul Scratch yang dibangunkan oleh Massachusetts Institute of Technology (MIT).

“Menerusi program ini juga para peserta didedahkan dengan pelbagai kemahiran untuk belajar pengaturcaraan dengan cara yang seronok dan tidak membosankan”, ujar beliau lagi.

 

Program ini telah melibatkan fasilitator seramai 20 orang pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Perisian berkongsi ilmu dengan para peserta.

Sementara itu Penasihat Kelab Kejuruteraan Perisian Dr Raja Rina Raja Ikram berkata, program ini menjadi medan kepada para pelajar yang terlibat sebagai fasilitator bagi mangasah kemahiran masing-masing.

“Dengan pendedahan sebegini juga turut mencorak mereka agar lebih mendalami pengajian akademik dengan lebih efektif dan bersedia menghadapi alam pekerjaan apabila pengajian nanti”, katanya lagi.