Skip to main content

Mahasiswa dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FTKEE), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya merangkul Anugerah Emas dan Gangsa di Jasin Multimedia & Computer Sciene Invention and Innovation Exhibition (JaMCSIIX) 2018 yang diadakan baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Jasin tersebut turut telah disertai oleh 112 kumpulan yang mana  18 kategori Profesional dan 94 kategori pelajar antaranya dari UTeM, UiTM Cawangan seluruh Malaysia, Melaka International College of Science and Technology (MICoST), Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, pencapaian ini turut melonjakkan jenama UTeM sebagai sebuah universiti awam teknikal berprestij di negara ini yang terus menyerlahkan potensi kecemerlangan dalam konteks penyelidikan dan inovasi.

Tambah beliau lagi, pencapaian ini juga merupakan antara koleksi kejayaan dari kalangan siswa universiti yang mana telah mendapat pengiktirafan pencapaian serta praktis terbaik dalam inovasi dan rekacipta yang diktiraf oleh barisan juri profesional.

Anugerah Emas telah diraih oleh kumpulan yang mana ahlinya terdiri daripada Emira Idayu Yahya, Tuan Nur Anisa Tuan AB Aziz dan Farah Syahirah Zolkifli dengan produk rekaan mereka yang diberi nama Smart Security System for Motorcycle Using RFID with Apps manakala anugerah Gangsa pula dibawa pulang menerusi rekaan produk yang digelar sebagai Green Sumato Attendance, hasil rekaan Tan Kim Loong, Muhammad Hazeeq Roslee dan Nursaidatul Atikah Izyan.

Majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor Penyelidikan Jaringan Industri dan Alumni, UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya Dr. Shafinar Ismail.