Alumni Universiti Teknikal Malaysia Melaka (AUTeM) maju selangkah lagi apabila 50 orang ahli alumni telah menawarkan diri secara sukarela menjadi penasihat kepada Persatuan Mahasiswa universiti ini.
Kumpulan ini akan mula berkongsi pengalaman dan kepakaran yang dimiliki sebagai penasihat kepada 83 kepimpinan Persatuan Mahasiswa di UTeM.
Pengarah Pusat Pengurusan Alumni dan Kebolehpasaran Graduan UTeM, Dr. Khairuddin Osman berkata, sumbangan tenaga dan buah fikiran Alumni merupakan aset intelektual universiti untuk pembangunan mahasiswa secara dinamik dan berterusan.
Jelas beliau, dengan adanya Penasihat Alumni ini turut merancakkan budaya penglibatan alumni dalam ekosistem pentadbiran universiti ke arah yang lebih mampan.
“Di samping itu senario ini juga menjadi suntikan motivasi dan inspirasi kepada mahasiswa agar mereka terus berusaha menjadi bakal graduan yang benar-benar berkualiti melalui penguasaan ilmu di samping mahir selok belok dalam organisasi”, ujar beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan AUTeM.
Bagi menjayakan agenda ini maka berlangsung upacara watikah perlantikan Penasihat Alumni telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap dalam Majlis High Tea AUTeM dan Pelancaran Penasihat Alumni baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap berkata, rentetan terlaksananya program ini maka diharapkan para pelajar akan terus aktif ke arah pemantapan minda dan budaya mahasiswa kelas pertama.
Katanya, program ini turut menjadi pemangkin kepada pelajar yang lain untuk terus berusaha cemerlang dalam bidang pembangunan kemahiran insaniah mahupun aktiviti mahasiswa di masa hadapan.
“Syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya menginisiatifkan program yang sangat bermanfaat ini yang sememangnya sangat signifikan dengan keperluan mahasiswa dan mahasiswi pada masa kini” ujar beliau lagi.