Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sekitar negeri Melaka telah menjayakan Konvensyen Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah (AMAR) peringkat Negeri Melaka baru-baru ini bertempat di Dewan Kompleks Sukan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Tujuh IPT lain yang terlibat sama dalam program ini adalah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Negeri Melaka, Kolej Profesional Mara Bandar Melaka, Universiti Kuala Lumpur (UniKL-MICET), Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Masjid Tanah, Institusi Kemahiran Mara (IKM) Jasin dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

Program ini merupakan anjuran bersama antara UTeM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan program ini julung kalinya diadakan bagi peringkat negeri Melaka.

Konvensyen  Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah turut dihadiri oleh Timbalan naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap yang mewakili Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib.

Menurut Dr. Nurulfajar, antara objektif utama konvensyen ini diadakan adalah bagi menghimpun dan merapatkan silaturahim ahli AMAR negeri Melaka di samping kepimpinan AMAR agar terus proaktif untuk terus merencanakan aktiviti-aktiviti berkaitan dalam kampus masing-masing.

Ujar beliau, antara pengisian program ini turut dimuatkan beberapa agenda antaranya adalah seperti slot ‘Ice-Breaking’ dan ‘Motivation Approach’ oleh Coach Dr. Amir Aris, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Teknousahawan UTeM.

Program diteruskan dengan acara ‘Sembang Santai’ dan taklimat penjenamaan semula Sekretriat Pencegahan Rasuah (SPR) kepada AMAR yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM, PsK Ahmad Faizul Abdul Rashid manakala Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah SPRM Melaka, PKPj Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail.