Skip to main content

Pesta Konvo Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan diadakan bermula pada 25 hingga 27 November 2018 ini bertempat di Tapak Pesta Konvo, Kampus Induk UTeM Durian Tunggal, Melaka.

Pada tahun ini Pesta Konvo UTeM buat kali ke 14 membawa tema "Graduan Inovatif Menjana Revolusi Industri" dan seperti biasa Pesta Konvo adalah sebahagian daripada agenda sempena dengan Majlis Konvokesyen UTeM ke 14 yang berlangsung selama dua hari berturut-turut pada 26 dan 27 November 2018 bagi empat sesi penganugerahan.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap menyatakan bahawa terdapat banyak aktiviti yang telah dirancang dan di susun untuk memenuhi aktiviti sempena Pesta Konvo ke-14 kali ini.

Jelas beliau, Pesta Konvo UTeM ini akan diserikan dengan persembahan barisan artis-artis ternama tanahair bagi membuat persembahan seperti Kugiran Masdo, Aizat Amdan, Awi Rafael, Andi Bernadee, Haris Baba dan ramai lagi yang akan menghiburkan para pengunjung.

"Sementara itu, seperti tahun-tahun sebelumnya Pesta Konvo turut diserikan dengan Malam Kesenian Islam dengan ceramah agama daripada Imam Muda Asyraf dan Dai’e Wan di samping persembahan khas daripada kumpulan Nasyid UNIC", ujar beliau lagi.

Pelbagai aktiviti yang diadakan bukan sahaja terhad di tapak pesta konvo, namun terdapat pelbagai aktiviti yang berlangsung di sekitar Kampus Induk UTeM seperi Colour Run yang diadakan di sekitar kampus, Water Walking Ball dan Paddle Boat yang akan diadakan di Tasik UTeM, pertandingan e-Games (Mobile Legends/PUBG) di Perpustakaan Laman Hikmah dan Pertandingan Melukis Mural pula akan diadakan di Kampus Teknologi.

Sehubungan itu, persembahan kebudayaan serta Inter College Nasyid Showdown turut akan diisi di Pentas Utama Pesta Konvo disamping pelbagai persembahan dari Kelab dan Persatuan Pelajar UTeM.

Perasmian Pesta Konvo UTeM akan dilangsungkan pada 25 November 2018 oleh Pro Canselor UTeM, Datuk Wira Ismail Saleh dan akan dihadiri bersama oleh barisan Pengurusan Tertinggi UTeM serta Pegawai Kanan universiti ini.

Justeru itu seluruh warga negeri Melaka dan sekitar dijemput beramai-ramai menikmati kemeriahan dan pelbagai pengisian hebat yang disediakan sepanjang tiga hari berturut-turut berlangsungnya Pesta Konvo UTeM ini dan masuk adalah percuma.