Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus bergiat aktif dalam konteks perhubungan antarabangsa bersama universiti-universiti berprestij di peringkat global.

Baru-baru ini Pejabat Naib Canselor UTeM telah menerima kunjung hormat dari Universiti Tokushima Jepun bagi menzahirkan beberapa lagi projek kerjasama antara dua buah universiti ini.

Universiti Tokushima diwakili oleh Prof. Dr. Mikito Yasuzawa dan Prof. Dr. Teruaki Ito yang mana ini merupakan lawatan beliau kali pertama ke UTeM setelah hampir empat tahun kewujudan Pusat Akademik Tokushima U-UTeM pada September 2014 lalu.

Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, antara agenda lawatan ini adalah untuk melihat perkembangan kejayaan yang diperoleh sepanjang kewujudan Pusat Akademik Tokushima U-UTeM yang dilancarkan oleh Presiden Universiti Tokushima, Prof. Susumu Kagawa sebelum ini.

Tambah beliau lagi, pelbagai usaha telah dipergiatkan dengan bantuan Pusat Akademik tersebut termasuklah pertukaran kepakaran dan maklumat dengan Universiti Tokushima terutamanya menenerusi bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Delegasi dari Universiti Tokushima turut membincangkan mengenai peluang kolaborasi dalam skala antarabangsa seperti pertukaran pelajar dan staf di antara kedua-dua buah universiti dengan skala yang besar bagi memperkasakan pengantarabangsaan kedua-dua universiti di peringkat global.

Sementara itu turut menjadi isi perbincangan adalah mengenai pertukaran kepakaran dan material saintifik bagi kegunaan para-pelajar di antara kedua-dua universiti yang mana pertukaran tersebut dijangka akan membuka peluang kepada pelajar dan staf dalam mengikuti kursus dalam bidang berkaitan dengan lebih mudah.

Turut hadir dalam sesi ini adalah Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Ir. Dr. Mihamad Arfauz A. Rahman serta mantan Dekan FKP iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Rizal Salleh.