Bagi memupuk minat pelajar sekolah rendah terhadap subjek Sains dan Matematik maka diadakan Program Stemazing Camp bagi para para pelajar dari sekitar negeri Melaka.
Program ini diadakan di Resort Agrofarmstay Durian Tunggal baru-baru ini telah melibatkan penyertaan seramai 100 orang murid yang terdiri daripada tahun 4 dan 5.
Program pada kali ini merupakan anjuran bersama Pusat Pembangunan Komuniti dan I-CoE UTeM, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM).
Di samping UTeM, JPNM terus komited dalam melontarkan inisiatif dalam usaha bersama bagi menyemai minat murid terhadap bidang sains dan matematik.
Menurut Ketua Projek merangkap Ketua Sub-kluster Mekanikal UTeM Dr. Mohd Afzanizam Mohd Rosli berkata, menerusi program ini mereka telah memilih projek membangunkan kereta lumba berkuasa angin untuk direkacipta oleh pelajar kumpulan kecil.
Katanya setiap kumpulan dibekalkan bahan-bahan yang mudah didapati seperti penutup botol, straw, lidi, kepingan kertas keras, getah gelang, lidi, belon dan pita pelekat untuk membina sebuah kereta lumba berkuasa angin.
“Pemilihan barang-barang yang mudah didapati ini sengaja dilakukan bagi menggambarkan aktiviti berasaskan Sains adalah mudah, ringkas dan berada dekat di sekeliling kita”, ujar beliau.
Di samping elemen pertandingan murid juga diberi peluang membentangkan hasil kerja dan berkongsi pendapat semasa sesi perkongsian ilmu “knowledge sharing” di akhir program.
Sementara itu bagi melancarkan program maka setiap kumpulan pelajar ditempatkan seorang fasilitator yang terdiri daripada kalangan guru-guru dan juga pelajar-pelajar tahun akhir FKM UTeM.
Menurut Ketua Fasilitator Siti Khuzaimah Mohd Amin berkata, setiap fasilitator yang dilantik ditugaskan untuk memberi penerangan dengan menekankan elemen-elemen sains yang terlibat dalam proses pembikinan kereta tersebut.
Ujar beliau lagi, semoga jalinan kerjasama program seperti ini dapat diteruskan lagi bagi memberi manfaat kepada murid-murid secara menyeluruh seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” kerana mereka adalah peneraju bidang Sains dan Matematik pada masa hadapan.