Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima menerima pendaftaran seramai 1,981 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda bagi kemasukan Sesi 2018/2019 semalam.

Dengan itu secara keseluruhannya UTeM telah menerima seramai 2,673 pelajar baharu merangkumi 1,981 orang bagi Ijazah Sarjana Muda, 506 pelajar Diploma yang telah mendaftarkan diri bagi semester khas pada bulan Jun yang lepas serta  seramai 186 pelajar ‘direct entry’ kemasukan Februari 2018.

Sesi pendaftaran yang bermula seawal pagi dan berakhir pada sebelah hujung petangnya menyaksikan kelancaran operasi pendaftaran untuk warga baharu universiti ini bertempat di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM Durian Tunggal.

Menurut Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, berdasarkan bilangan pendaftaran ini jelas menunjukkan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan telah mencatatkan bilangan tertinggi sebanyak 768 orang pelajar sehingga semalam.

Katanya, daripada 768 orang pelajar tersebut, seramai 419 orang pelajar akan mengikuti pengajian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) manakakala seramai 349 orang pelajar pula di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan.

“Angka tersebut menunjukkan adanya peningkatan berbanding pada tahun lalu yang mana kemasukan bagi Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dicatatkan sebanyak 678 orang sahaja”, ujar beliau.

Sementara itu bagi kursus-kursus lain mencatatkan pendaftaran sebanyak 339 orang pelajar bagi Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) serta 309 orang pelajar bagi Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan.

Manakala bagi kursus kejuruteraan pula diisi sebanyak 174 orang pelajar bagi Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), 89 orang bagi Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), 168 orang bagi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan 134 orang bagi Fakulti kejuruteraan Pembuatan (FKP).

UTeM terus menzahirkan kecemerlangan peranannya selaku universiti awam teknikal paling berprestij dalam negara ini kerana terus berjaya menjadi pengeluar utama graduan berkompetensi tinggi dan berdaya saing tinggi bagi pasaran tenaga buruh mahir dalam dan luar negara.