Skip to main content

Tradisi ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha 1439 Hijrah diteruskan oleh Pusat Islam Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang diadakan semalam.

Program Korban, Doa Selamat dan Solat Hajat Peringkat UTeM 1439/2018 tersebut telah berlangsung bertempat di perkarangan Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM.

Dalam program yang melibatkan kerjasama pihak pengurusan utama UTeM bersama dengan warga kerja universiti ini telah mengorbankan sebanyak tiga ekor lembu.

Sejurus itu proses agihan dilaksanakan terus sampai kepada golongan yang memerlukan.

Pengarah Pusat Islam UTeM, Dr. Muhd Akmal Noor Rajikon berkata, UTeM sentiasa komited dalam menjalankan ibadah korban bagi membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya golongan anak yatim dan ibu tunggal.

Tambah beliau lagi, tiga ekor lembu yang dijadikan korban tahun ini adalah sumbangan daripada Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti), Prof. Dr. Mohd Ridzuan Nordin, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAKTIS) dan sumbangan dari beberapa kakitangan UTeM menerusi beberapa bahagian.

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib turut mengulas, program ibadah korban sebegini memberi peluang kepada warga UTeM untuk membantu mereka yang memerlukan di sekitar kampus.

"Semoga sambutan dan sumbangan bagi progran ibadah korban ini akan bertambah lagi di masa hadapan" ujar beliau ketika ditemuramah sewaktu beliau turut sama berganding bahu melapah daging korban.

Kemuncak program adalah sebelum Majlis Doa Selamat dan Solat Hajat disusuli dengan jamuan makan tengah hari bersama warga universiti dengan menu yang disediakan secara bergotong royong seperti sup tulang, asam pedas tetel dan gerang asam daging, obis goreng, sambal belacan belimbing buluh dan ikan masin.