Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diberi penghormatan oleh Republik Rakyat China apabila dijemput hadir bagi mewakili Malaysia ke The 11th China-Asean Education Cooperation Week (CAECW) yang berlangsung pada minggu lalu.
Program yang berlangsung di Guiyang, Guizhou China ini adalah antara lain sebagai medan pertukaran idea pendidikan dan kebudayaan antara negara China bersama dengan negara ASEAN lain bagi meningkatkan persefahaman dan hubungan baik.

Perkara ini juga turut membuka pelbagai peluang kerjasama pendidikan secara praktikal di samping memperluaskan bidang kerjasama menerusi pelbagai dimensi serta memperkukuhkan komunikasi dan pembangunan serantau.
Menurut Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, menerusi CAECW terhasilnya pengukuhan kerjasama dengan menggalakkan pertukaran kakitangan akademik dan mahasiswa.
Ujarnya, agenda ini juga turut dilihat berupaya meningkatkan kualiti perkembangan bakat serta pembangunan ekonomi dan sosial serantau antara China dan negara ASEAN.
UTeM turut menerima tempias manfaat program ini apabila ianya juga menzahirkan pengukuhkan rangkaian antarabangsa dalam kalangan institusi pengajian tinggi di China berkenaan dengan projek dan aktiviti- aktiviti kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).
Dalam majlis tersebut UTeM dianugerahkan First Group of China-ASEAN 100 + 100 Institutional Cooperation Flagship Program di atas usaha UTeM yang menjalankan kolaborasi bersama Shenzhen Polytechnic China di samping pembentangan kertas kerja bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi topik China-ASEAN Vocational Education Forum and Exhibition of Success Cooperation Programs.
Sementara itu Naib Canselor UTeM turut diberikan penghormatan pada hari ketiga persidangan tersebut apabila dilantik sebagai panel bagi persidangan meja bulat yang membincangkan mengenai China-ASEAN Symposium on Capacity Building and Research Collaboration bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
CAECW merupakan sebuah persidangan yang telah memasuki tahun ke-11 penganjurannya dan telah berjaya menarik minat lebih daripada 15,000 pengunjung dengan penglibatan kira-kira 2,800 kolej dan universiti termasuklah pelbagai organisasi pendidikan dari China, negara ASEAN serta negara-negara lain di samping program ini turut menyaksikan perjanjian pendidikan dan memorandum kerjasama ditandatangani sepanjang program tersebut.