Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini telah melengkapkan pengisian bagi proses lapor diri pelajar diploma sesi 2018/2019 menerusi minggu suai kenal yang diadakan di Kompleks Dewan Sukan UTeM, Kampus Induk UTeM Durian Tunggal baru-baru ini.

Program Suai Kenal yang diadakan ini antaranya berobjektif mendedahkan para pelajar baharu ini untuk mengenali dan beramah mesra dengan pengurusan tertinggi UTeM yang terdiri daripada Naib Canselor, Timbalan-timbalan dan Penolong-penolong Naib Canselor di samping Dekan-dekan fakulti serta barisan pegawai-pegawai kanan universiti.

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib sewaktu dalam ucapan perasmian Program Suai Kenal tersebut mengucapkan selamat datang kepada warga pelajar baharu ini di samping menyuntik semangat agar mereka perlu memupuk budaya berdikari sepanjang pengajian di universiti ini kerana sikap begini menjadikan mereka lebih mampan, dinamik dan fleksibel.

Tambah beliau lagi, sikap berdikari ini boleh membantu para pelajar untuk mengembangkan minda dan idea tanpa memerlukan suapan semata dari mana-mana pihak sebagai persediaan menghadapi masa depan yang semakin mencabar.

Dalam program ini para pelajar bukan hanya tertumpu dengan suai kenal kepada pengurusan tertinggi UTeM sahaja namun mereka turut diperkenalkan kepada kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh universiti kepada para pelajar.

Di samping itu para pelajar turut diminta agar mereka lebih peka bagi mengetahui dan mengambil maklum mengenai lokasi dan kemudahan tersebut bagi mempermudahkan mereka menjalani urusan asas dalam kampus. 

Universiti terus komited dalam penyediaan kemudahan tersebut bagi memudahkan urusan pelajar di dalam kampus induk dan UTeM juga sentiasa terbuka dalam menerima cadangan dan penambahbaikan bagi memastikan keselesaan pelajar terpelihara selama tempoh pengajian mereka di sini.