Sempena menyambut Ramadan al-Mubarak, Pejabat Canselori Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan majlis iftar bagi meraikan fakir miskin, anak yatim dan golongan orang kelainan upaya (OKU) di Masjid Sayyidina Abu Bakar di Kampus Induk Durian Tunggal, Melaka semalam.
Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC), Fazidah Ithnin, berkata antara objektif majlis itu diadakan adalah bertujuan memenuhi tanggungjawab sosial korporat serta membantu golongan kurang berkemampuan.
Tambah beliau lagi, dalam majlis yang sama pihak Canselori UTeM turut menyalurkan sumbangan yang disampaikan oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib kepada 15 penerima yang berusia diantara 3 hingga 15 tahun.
Pengisian Majlis bermula dari awal pagi dengan aktiviti memasak bubur lambuk secara gotong royong oleh kakitangan Canselori yang mana program menyediakan bubur lambuk tersebut merupakan aktiviti rutin setiap tahun sebelum juadah berbuka puasa itu diagihkan kepada seluruh warga UTeM.
Sementara itu, Prof. Shahrin berkata, sempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini UTeM mengambil inisiatif dalam menyusun dan mengadakan pelbagai program kerohanian dan keagamaan sepanjang tahun ini, termasuk solat tarawih berjemaah di Masjid Sayyidina Abu Bakar.
"Sebagai institusi kecemerlangan ilmu aktiviti-aktiviti sebegini amat sesuai diadakan dan mendapat sokongan daripada seluruh warga universiti yang terdiri daripada kakitangan dan juga mahasiswa di samping penduduk sekitar Kampus Induk UTeM", ujar beliau lagi.
Majlis iftar itu juga dijayakan kakitangan Pejabat Naib Canselor, Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori, Pejabat Audit Dalam, Pejabat Pengurusan Program, Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan serta Fakulti Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan.