Skip to main content

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib telah dianugerahkan Anugerah Sanjungan Sukan di atas pencapaian beliau dalam memajukan sukan berbasikal diperingkat nasional dan antarabangsa menerusi majlis Anugerah Sukan UTeM 2017 yang diadakan di Kompleks Sukan UTeM baru-baru ini.

Anugerah Sukan UTeM bagi tahun 2017 bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada pelajar dan kakitangan yang bergiat aktif dalam melonjakkan nama universiti di pelbagai peringkat melibatkan arena kebangsaan dan antarabangsa.

Dr Shahrin yang ditemui selepas majlis mengucapkan ribuan terima kasih di atas pengiktirafan yang diterima beliau dan menyatakan bahawa semoga anugerah tersebut menjadi pemangkin semangat kepada kakitangan dan para pegawai kanan yang lain untuk meluangkan masa bergiat aktif bersukan di samping komitmen menjalankan tugasan harian.

Sementara itu Olahragawan dan Olahragawati bagi kategori kakitangan pula telah dianugerahkan kepada pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017, Mohd Zarlizan Zakaria dalam acara sepak takraw dan Dr. Asiah Mohd Pilus bagi sukan petanque manakala Atlet Harapan pula diberikan kepada Mohd Hairi Abdul Jalil bagi sukan berbasikal.

Kategori Kecemerlangan dan Pasukan Harapan telah menyaksikan Rohaili Ramli dari sukan dart dinobatkan sebagai Pengurus Cemerlang manakala Kelab Bola Sepak diangkat sebagai Kelab Cemerlang dan Pasukan Berbasikal dinobatkan sebagai Pasukan Cemerlang manakala Pasukan Harapan dianugerahkan kepada Pasukan Boling Padang Wanita.

Sementara itu sebanyak sembilan anugerah telah diberikan bagi kategori pelajar dengan anugerah utama iaitu Olahragawan dan Olahragawati diraih oleh Mohamad Taufiq Md Osman Ani untuk sukan mendayung dan Anis Amira Basri dari sukan Petanque.

Anugerah turut diberikan kepada kategori Anugerah Khas Sukan untuk Pasukan Mendayung Wanita di samping kategori Olahragawan dan Olahragawati Harapan dimenangi Lukman Arif Mohd Kamal dan Nur Husnina Najehah Husshini dari sukan yang sama iaitu mendayung.

Untuk kategori kecemerlangan dan pasukan harapan pula, pengurus cemerlang telah dimenangi oleh Muhamad Amirul Syafiq Yusof, Kelab Cemerlang dirangkul oleh Kelab Larian dan Orienteering UTeM (UROC), pasukan cemerlang dipelopori oleh pasukan berbasikal dan Pasukan Harapan telah dianugerahkan kepada pasukan Petanque.

Dalam majlis yang sama juga, turut diadakan majlis penyerahan Bantuan 1UTeM dan Sumbangan Zakat kepada 372 orang pelajar dengan jumlah agihan keseluruhan berjumlah RM111,000 yang mana RM61,500 yang diserahkan kepada 205 orang pelajar yang mana dana ini merupakan hasil daripada Tabung Endowmen, Wakaf UTeM dan Tabung Sumbangan UTeM manakala RM 50,000 akan diagihkan kepada 167 orang pelajar muslim hasil dari wang sumbangan Syarikat Perumahan Pegawai Kerajaan Sdn. Bhd.