Seramai 44 orang mahasiswa dari Kolej Kediaman Satria Tuah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia agar turun padang menyumbang kepada masyarakat setempat dengan menganjurkan Program Bakti Siswa yang bertemakan kelestarian alam sekitar bersama masyarakat Paya Rumput Permai baru-baru ini.
Program ini merupakan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Melaka Tengah Dan Kawasan Rukun Tetangga Paya Rumput Permai (KRT PRP).
Menurut pengarah program Muhammad Hafiz Johari, program ini telah berjaya memberikan pendedahan kepada golongan siswa bahawa pentingnya jalinan hubungan antara masyarakat sekitar.
Tambah beliau lagi, kumpulan peserta telah disegmenkan untuk membantu membersihkan dan mencantikkan kawasan yang telah dikenalpasti dalam empat kumpulan yang mengintegrasi masyarakat dan mahasiswa.
“Para peserta yang hadir telah memberikan sepenuh komitmen dengan tugasan yang telah dirancang” kata beliau yang juga merupakan mahasiswa tahun pertama Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).
Sementara itu Nurhakimie Izwan bin Ahmad berkata, salah seorang peserta yang terlibat berkongsi perasaan gembira kerana dapat menyumbang tenaga dalam menjayakan program tersebut.
Beliau yakin bahawa aktiviti bersama masyarakat seperti ini berjaya membentuk karekter siswa dalam memantapkan lagi kemabiran berkomunikasi termasuk pengucapan awam apabila diberi peluang berinteraksi dengan masyarakat sekitar.
Beberapa aktiviti yang turut dijalankan dalam program ini adalah seperti senamrobik bersama masyarakat, aktiviti saringan kesihatan, membaikpulih dan menambah nilai estetika fasiliti taman permainan taman, merekacipta mural dataran komuniti, memcantik dan membersih kawasan sekitar termasuk taman asuhan kanak-kanak taman tersebut.
Menurut Felo Kolej Kediaman Satria Tuah UTeM, Al Amin bin Mohamed Sultan, program seperti ini seharusnya diadakan dengan lebih kerap supaya siswa lebih prihatin terhadap masyarakat. Ini kerana mahasiswa masa kini adalah pemimpin negara pada masa hadapan.
Mengulas lanjut beliau berkata, secara keseluruhannya ahli komuniti Paya Rumput Permai berpuas hati dengan hasil kerja dan hasil sentuhan siswa UTeM kepada penduduk dan berharap segala pembaikan dan hasil yang tercipta akan dimanfaatkan dengan baik oleh penduduk.
Program bakti siswa UTeM ini telah dirasmikan oleh Datuk Sazali Muhd Din, Adun Paya Rumput yang mana acara penanaman pokok sebagai simbolik hubungan kerjasama antara UTeM dan Komuniti Paya Rumput Permai telah diadakan.