Skip to main content
10 March 2025

Penyelidik UTeM Cipta Kaki Palsu Cetakan 3D Lebih Ringan Moden dan Selesa

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mencipta produk inovasi yang dikenali sebagai Kaki Palsu Cetakan 3D yang memiliki kelebihan tersendiri yang berbeza dengan kaki palsu di pasaran.

Ketua Penyelidik, Mohammad Rafi Omar berkata, Kaki Palsu Cetakan 3D ini mempunyai ciri utama yang jauh lebih menarik dalam pelbagai ciri antaranya ia lebih ringan dengan berat purata 1 kilogram sahaja dan membuatkan pemakai lebih selesa.

Katanya, produk ini dilengkapi dengan rekabentuk ergonomik dengan pengudaraan baik yang mempunyai struktur berlubang bagi membantu mengurangkan peluh dan meningkatkan keselesaan pemakai, terutamanya bagi pesakit diabetes yang mudah mengalami iritasi kulit.

“Pembuatannya selari dengan teknologi semasa, menggunakan teknologi 3D Printing Selective Laser Sintering (SLS), yang memastikan proses pembuatan lebih pantas, lebih tepat, dan menghasilkan produk berkualiti tinggi.

“Dari segi kos penghasilannya pula adalah lebih rendah berbanding kaki palsu tradisional yang agak mahal, namun tetap mempunyai kualiti yang tinggi tanpa menjejaskan ketahanannya,” ujarnya lagi.

Produk ini telah dihasilkan sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada Profesor Ts. Dr. Effendi Mohamad, Ts. Dr. Muhammad Ilman Hakimi Chua Abdullah, Ts. Mohd Zakaria Mohammad Nasir, Ahmad Zul Husni Che Mamat, TC. Basri Bidin, TC. Zulkifli Jantan dan TC. Kamaruddin Abu Bakar.

Menceritakan tentang cetusan awal penghasilan produk ini, beliau menyatakan idea ini tercetus berdasarkan maklum balas daripada pengguna yang memerlukan kaki palsu yang lebih ringan dan selesa.

“Pada masa yang sama rata-rata pengguna kaki palsu konvensional mengadu akan ketidakselesaan akibat peluh berlebihan, terutama pesakit diabetes dan situasi ini boleh menyebabkan kegatalan, jangkitan dan berisiko membawa kepada komplikasi serius seperti amputasi tambahan.

“Maka kami (kumpulan penyelidik) merasa terpanggil untuk mencurahkan kepakaran yang dimiliki untuk menghasilkan produk inovasi ini yang tentunya membantu golongan yang amat memerlukannya,” katanya dalam Kenyataan Media UTeM.

Menyentuh tentang jangka masa dan cabaran dalam penghasilan produk ini, beliau menyatakan proses penghasilan produk ini mengambil masa sekitar 2 minggu yang mana bermula dengan peringkat reka bentuk hinggalah ke proses pembuatan akhir.

“Namun ada juga sedikit cabaran yang dihadapi, antaranya seperti menyesuaikan reka bentuk kaki palsu mengikut saiz dan keperluan individu pesakit kerana setiap pesakit mempunyai bentuk kecacatan yang berbeza, jadi proses pembuatan memerlukan analisis khas untuk memastikan keselesaan dan keberkesanan penggunaan.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus pro aktif melangkah ke hadapan dalam konteks penghasilan produk inovasi yang dapat membantu masyarakat termasuklah golongan sasaran tertentu,

“Bagi produk inovasi ini, produk ini telah membantu penerima kaki palsu untuk bergerak dengan lebih bebas menikmati kualiti hidup yang lebih baik di samping meluaskan peluang untuk mereka mudah untuk bekerja bagi menjana pendapatan sendiri.

“Pada masa yang sama dalam aspek pengkomersialan pula produk ini dilihat mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan kerana ia lebih ringan, selesa, dan mampu milik.

“Dengan kerjasama pihak industri dan pelabur, produk ini boleh diperluaskan ke pasaran tempatan dan antarabangsa untuk manfaat lebih ramai pengguna,” ujarnya memberi pandangan terhadap hasil penyelidikan kumpulan penyelidik UTeM ini.

Sehingga kini sebanyak tujuh unit kaki palsu telah diserahkan kepada tujuh penerima yang terpilih, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dari pelbagai daerah di Negeri Melaka.

Penyerahan telah di sempurnakan sewaktu majlis penyerahan kaki palsu cetakan 3D UTeM telah berlangsung di Samsung IoT, Kampus Teknologi, UTeM sempena program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) yang diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka di bawah tajaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), baru-baru ini.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, YB. Datuk Fairul Nizam Roslan bersama Timbalan Exco YB. Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif, Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi Rice UTeM-Melaka, Profesor Ts. Dr. Effendi Mohamad dan wakil industri iaitu Kedidi Global Sdn Bhd.