Skip to main content
Durian Tunggal, Melaka – Bazar Ramadan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang terletak berhampiran Masjid Sayyidina Abu Bakar kembali memeriahkan suasana Kampus Induk UTeM selepas 2 tahun menyepi ekoran penularan pandemik COVID-19.
 
Pada kali ini dianggarkan sebanyak 35 buah khemah jualan menawarkan pelbagai menu juadah berbuka puasa dan bersahur tentunya telah menggamit ramai pengunjung yang terdiri daripada golongan pelajar dan kakitangan UTeM serta orang ramai.
 
Ianya mula beroperasi sejak 1 Ramadan lalu dan para pengunjung boleh mula membeli juadah pada setiap hari termasuk hujung minggu bermula dari 3.00 petang hingga 8.00 malam.
 
Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin bersama-sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif turut meluangkan masa meninjau Bazar Ramadan UTeM, baru-baru ini.
 
Dr Massila berkata, Bazar Ramadan UTeM antara elemen menarik yang turut menghidupkan lagi suasana kemeriahan dalam kampus pada bulan Ramadan ini dan seakan-akan menyamai suasana berpuasa dalam kalangan pelajar bersama keluarga.
 
Jelasnya, dengan adanya Bazar Ramadan ini maka sudah tentu dapat memberikan kemudahan, menjimatkan masa serta menjadi pilihan buat warga kampus untuk membeli juadah berbuka puasa di sini.
 
Ujarnya, penganjuran Bazar Ramadan UTeM ini merupakan inisiatif Badan Kebajikan Staf UTeM (BAKUTeM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).
 
“Penganjurannya merupakan langkah proaktif sempena bulan Ramadan tahun ini tambahan pula kita telah memasuki fasa peralihan ke endemik yang bermula pada 1 April lalu’, ujarnya lagi dalam kenyataan yang diberikan semasa tinjauan di Bazar Ramadan UTeM baru-baru ini.
 
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Dr Sabri berkata, inisiatif ini juga menggalakkan interaksi sihat serta menzahirkan sikap prihatin antara semua warga kampus dengan mewujudkan suasana kekeluargaan dan kekitaan dalam kalangan warga UTeM.
 
Katanya lagi, antara impak dan keunikan tersendiri Bazar Ramadan UTeM antaranya adalah penyemarakan persekitaran keusahawan dalam kalangan pelajar UTeM sendiri kerana peniaga bazar turut menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar UTeM sebagai pekerja sambilan bagi mempraktikkan ilmu keusahawanan mereka di samping dapat menjana pendapatan sampingan.
 
Turut bersama sewaktu kunjungan tersebut adalah Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC), Datin Wira Ts Nurazlina Md Sanusi.